suria

Suspek curi berlian RM2.89 juta disyaki lari ke Vietnam

SUSPEK yang melarikan cincin berlian jenis ruby berharga RM2.89 juta dari sebuah kedai emas di Genting Highlands pada Ahad lalu, dipercayai telah melarikan diri ke Vietnam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek yang dipercayai warga China berumur dalam lingkungan 50-an difahamkan melarikan diri pada hari yang sama dia menukar cincin itu kepada cincin palsu.

"Kita percaya suspek membuat perancangan awal kerana keterangan pekerja kedai mengatakan suspek pernah berkunjung ke kedai itu sekitar bulan lalu untuk melihat cincin lima karat berkenaan.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati suspek memang ada menukar cincin asli kepada cincin palsu yang lebih 90 peratus menyamai cincin sebenar," katanya kepada pemberita di Kuantan, Rabu.

Semalam, media melaporkan seorang suspek yang berpura-pura mahu membeli cincin itu telah menukarnya dengan cincin palsu, selepas 20 minit meneliti barang kemas berkenaan, sebelum menyatakan tidak berminat untuk membeli.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.  -- Bernama    



Ruby, Vietnam, berlian

Artikel Lain