suria

Amuk kerana gagal keluarkan duit di mesin ATM, lelaki cedera ditembak polis

polis merampas sebilah pisau lipat berukuran tujuh inci serta satu paket mengandungi serbuk putih disyaki dadah dalam beg sandang suspek.

SEORANG lelaki berumur 41 tahun cedera di perut selepas ditembak polis dalam satu kejadian amuk di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi di Klang, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari dua anggota polis berpangkat Koperal dari Unit Ronda Bermotosikal (URB) bergegas ke bank berkenaan selepas menerima maklumat mengenai satu kejadian amuk.

Beliau berkata apabila sampai, mereka dimaklumkan oleh seorang pegawal keselamatan bank bahawa lelaki itu sudah beredar, namun akan kembali pada pukul 2 petang, dan akan mengamuk sekiranya tidak dapat mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank berkenaan.

“Dua anggota polis URB itu kemudiannya datang semula ke bank berkenaan pada pukul 2.00 petang dan mendapati suspek berada di hadapan bank dalam keadaan marah serta memegang pisau,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya dua anggota polis itu cuba menenangkan suspek selama 20 minit sebelum suspek bertindak agresif dan mengejar salah seorang anggota polis itu untuk cuba menikamnya.

“Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan empat das tembakan, dan dua das mengenai bahagian perut suspek," katanya.

Shamsul Amar berkata siasatan awal mendapati terdahulu suspek bertindak memecahkan sebuah mesin ATM di bank berkenaan setelah berang apabila duit tidak masuk ke dalam akaunnya.

Beliau juga berkata polis merampas sebilah pisau lipat berukuran tujuh inci serta satu paket mengandungi serbuk putih disyaki dadah dalam beg sandang suspek.

Katanya suspek yang mempunyai empat rekod lampau membabitkan dadah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk menerima rawatan, manakala dua anggota URB itu tidak mengalami sebarang kecederaan.- BERNAMA

ACP Shamsul Amar Ramli, amuk, bank

Artikel Lain