suria

Nur Quraitun masih belum tahu mak ayah meninggal

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan yang mengorbankan lima sekeluarga yang melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua kereta di Batu 13 Jalan Kuantan-Temerloh, Ahad lalu. Foto Bernama

ANAK pasangan Musa Abdullah, 31, dan Norsuraya Mohd Noor, 30, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 101, Jalan Lama Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Kampung Semat, Batu 14,  pada Ahad lalu masih belum mengetahui ibu bapanya, datuk dan neneknya serta adik lelakinya meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Menurut ibu saudaranya Nor Syuhada Mohd Noor, 29, meskipun keadaan anak saudaranya itu Nur Quraitun Ain Musa, 5, telah sedar, namun mereka sekeluarga masih tidak sampai hati untuk memaklumkan tentang keadaan yang berlaku memandangkan kesihatannya belum mengizinkan.

“Dia (Nur Quraitun) masih belum tahu keadaan sebenar, biarlah keadaannya benar-benar pulih baru kami sepakat untuk memaklumkan kepadanya.

“Semasa dimasukkan ke wad pada malam pertama (hari Ahad), dia ada meracau-racau memanggil ibunya mungkin kerana terkejut dengan kemalangan yang berlaku, malah sehingga sehingga kini selalu juga dia memanggil ibunya jika kesakitan,” katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh, Pahang pada Selasa.

Selain itu, katanya anak saudaranya itu masih trauma dan takut apabila menerima kehadiran pelawat dan akan menjerit memanggil ibunya.

Nor Syuhada yang kini hamil tiga bulan turut menyatakan kesediaan untuk menjaga Nur Quraitun dan akan mengambilnya sebagai anak angkat secara sah apabila kanak-kanak itu keluar dari hospital kelak.

Selain ibu bapa Nur Quraitun, adik lelakinya Muhammad Zulkarnain, 3, serta datuk dan neneknya  Mohd Noor Che Mat, 78, dan Hashimah Ismail, 66,  turut maut dalam kemalangan yang berlaku pada 2.30 petang Ahad lalu.

Semasa kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 6 selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Hulu Langat Selangor.

Kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah Proton Iswara sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata kerajaan negeri bersedia untuk menanggung perbelanjaan persekolahan Nur Quraitun untuk memastikan pendidikannya terjamin.

“Sebelum ini kita telah membantu menguruskan perbelanjaan urusan pengebumian kelima-lima mangsa menggunakan dana UMNO Maran dan bagi pihak kerajaan negeri kita juga telah memaklumkan kepada keluarga terdekat supaya memberitahu kita sebarang perkembangan jika memerlukan bantuan,” katanya yang turut berada hampir setengah jam melawat mangsa di HOSHAS.

Beliau turut memberi sumbangan RM1,000 kepada mangsa. - Bernama

Nur Quraitun Ain Musa, Myvi

Artikel Lain