KAPAL mewah yang didakwa dibeli menggunakan wang curi, mungkin dijual pada harga jauh lebih murah. Jualan kapal mewah milik Jho Low, Equanimity yang dirampas, yang dijangka dimuktamadkan pada 31 Mac tetapi kerajaan masih belum mendapatkan pembeli. Kapal itu nampaknya akan dijual dengan harga dengan diskaun yang tinggi. Rancangan sebelum ini adalah menjual Equanimity tidak kurang daripada AS$130 juta, yang mana nilainya separuh daripada kos asal. Bagaimanapun, sumber memberitahu bahawa kerajaan mungkin akan mengurangkan lagi harga sehingga serendah AS$100 juta. Terdapat desakan supaya menutup perjanjian kerana kos penyelenggaraan bulanan kapal itu menelan belanja yang tinggi. "Ia adalah pasaran pembeli. Pembeli berpotensi tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan kapal itu dan menunggu harga yang terbaik untuk membeli. "Mereka tahu kerajaan mahu menjual kapal itu secepat mungkin kerana kos penyelengaraan yang tinggi," jelas sumber itu. Tambah sumber, kebanyakan yang membuat bidaan untuk kapal mewah itu hanya sedia membayar pada harga antara AS$80 juta dan AS$100 juta. Sejak lapan bulan lalu, kerajaan membelanjakan RM14.5 juta untuk menyelenggara Equanimity, yang ketika ini berlabuh di Markas Wilayah Laut 3 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Langkawi. Kapal tersebut berlayar ke Langkawi pada November lalu selepas Mahkamah Tinggi (Bahagian Admiralti) memuluskan terma dan syarat untuk proses bidaan. - The Star