suria

"Ego cenderung jadikan seseorang itu tidak dapat melihat kesalahannya" - Dr Mahathir

Dr Mahathir diiringi Pengerusi bersama Ahli Lembaga Gabenor Asia School of Business (ASB), Tan Sri Dr Zeti Aziz Akhtar Aziz ketika hadir pada Majlis Konvokesyen ‘Asia School of Business’ di sebuah hotel pada Ahad. Foto: Bernama

PEMIMPIN yang baik akan mengenepikan ego dan berusaha membetulkan kesalahan sekiranya ia dapat memberikan manfaat kepada mereka yang dipimpinnya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ego cenderung untuk menjadikan seseorang itu tidak dapat melihat kesalahannya, atau enggan mengakuinya, sekaligus menyebabkan dia tidak dapat membetulkan kesalahannya.

“Satu nilai yang seharusnya diketepikan ialah ego. Sesetengah orang berpendapat ego boleh menjadi sesuatu yang positif, kerana ia akan menjadikan anda lebih kompetetif.

“Bagi saya itu seharusnya lebih kepada azam. Ego adalah berkenaan diri sendiri, bukan mereka yang anda pimpin,” katanya semasa berucap di majlis dialog terbuka dengan belia “Youth Ask, Tun Answers” di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Ahad.

Beliau seterusnya menggariskan dua daripada nilai dan kualiti penting yang harus dimiliki seseorang untuk menjadikannya seorang pemimpin yang baik; yakni integriti dan kejujuran.

Sekiranya seseorang pemimpin tidak mempunyai nilai-nilai ini, ia akan mengakibatkan orang ramai dipimpin oleh seorang yang korup dan tidak boleh dipercayai.

"Nilai kedua kerja keras, dan junjung tinggi maruah dalam kerja anda. Nilai-nilai ini menjadikan anda seorang yang berintegriti dan ikhlas,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata seorang pemimpin yang baik juga harus menghayati pembelajaran sepanjang hayat kerana ilmu pengetahuan tidak terbatas dan tidak pernah statik.

“Semakin banyak anda membaca, semakin anda sedar bahawa banyak lagi yang perlu dibaca, dan perlu belajar,” katanya.-Bernama

Dr Mahathir, PM, Ego

Artikel Berikut

Artikel Lain