AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal sah menjadi Menteri Besar Johor yang baharu selepas mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, pagi Ahad. Beliau yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di Johor Bahru. Berangkat sama pada upacara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan suami Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, Datuk Dennis Muhammad Abdullah. ARTIKEL BERKAITAN: MB Johor baharu angkat sumpah hari ini Dr Sahruddin (kiri) menerima surat tauliah pelantikan daripada Sultan Ibrahim (kanan). Foto Johor Royal Press Office Dr Sahruddin, 43, menjadi Menteri Besar Johor ke-17, menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletakan jawatan. Terdahulu, desas-desus mengenai Johor bakal menerima menteri besar baharu bertiup kencang pada hujung minggu menjelang Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang berlangsung pada Isnin dan Selasa lepas namun dinafikan oleh pembantu Osman. Bagaimanapun pada 9 April, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Osman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kerajaan negeri pimpinan PH itu selepas ini. Dr Sahruddin menghadap Sultan Ibrahim. Foto Johor Royal Press Office Yang nyata, kepimpinan PH di negeri ini dijangka masih diteruskan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus menunjukkan kesepakatan kepimpinan PH seperti yang telah dipersetujui ketika Pilihanraya Umum ke-14. Menurut Osman pada satu sidang media pada Sabtu, ketika pertemuannya dengan Sultan Johor, baginda bertitah akan menetapkan beberapa syarat terhadap menteri besar baharu. Syarat-syarat itu dijangka perubahan besar dalam pembentukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Ibrahim.