SEORANG lelaki cedera parah di bahagian perut dan tangan setelah ditetak bekas abang iparnya dengan menggunakan pisau dalam kejadian di Kampung Padang Buloh, Pekan, malam Sabtu. Dalam kejadian pada 10.30 malam tersebut, ibu mangsa turut dicederakan ketika ingin menyelamatkan anaknya itu menyebabkan beliau menerima beberapa jahitan di kepala dan tangan kanan. Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Amran Sidek ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan usaha mengesan suspek sedang dijalankan. "Kejadian disaksikan adik mangsa berusia 20 tahun yang mendakwa suspek mula menyerang abangnya yang duduk di luar pintu belakang rumah mereka. "Selepas terdengar jeritan, ibu mangsa bergegas melihat keadaan anaknya itu sebelum turut diserang oleh suspek yang membawa sebilah pisau," katanya. Amran berkata suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal dan meninggalkan mangsa yang berlumuran darah. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan bagi mendapatkan rawatan dan saksi telah tampil membuat laporan polis pada hari sama, katanya.- BERNAMA.