suria

Bekas tentera selongkar tong sampah untuk teruskan hidup, “Sudah tidak ada lagi perasaan malu demi mencari rezeki halal”

Motor roda tiga yang digunakan Sabri untuk mengumpul barangan lusuh dan kadang kala digunakan untuk membawa ibunya ke hospital. FOTO: Sinar Harian.

"SUDAH tidak ada lagi perasaan malu demi mencari rezeki halal buat kami sekeluarga," luah seorang bekas tentera di Pokok Sena di Tasek Gelugor, Pulau Pinang apabila terpaksa menyelongkar tong sampah di sekitar daerah ini sejak empat tahun lalu.

Sabri Sab,58, terpaksa mencari punca rezeki daripada sisa buangan yang masih boleh digunakan dan dikitar semula demi kelangsungan hidup bersama ibunya yang telah berusia 79 tahun dan ahli keluarganya.

Bau busuk dan kotor telah menjadi kebiasaan kepada bapa tiga anak itu, malah dia tidak lagi mempedulikan pandangan serong orang lain asalkan perut mereka sekeluarga dapat terisi.

“Dengan keadaan usia sekarang tidak ada sesiapa yang mahu ambil saya bekerja jadi saya terpaksa melakukan kerja ini untuk memperoleh pendapatan apatah lagi saya pula tentera tidak berpencen memandangkan menamatkan perkhidmatan dari tempoh masa ditetapkan.

“Saya tidak ada pilihan dan perlu berbuat sesuatu untuk mengisi perut ibu, isteri serta anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menceritakan rutin hariannya, Sabri berkata, setiap hari dia akan masuk ke dalam tong sampah dan menyelongkar barangan antaranya seperti botol plastik, kotak dan besi buruk untuk dijual.

Katanya, hanya memperoleh hasil sekitar RM20 ke RM30 sehari, namun dia bersyukur dengan apa yang diperolehinya.

Dalam pada itu Sabri berkata, ibunya pula kini menderita menghidap penyakit parkinson dan darah tinggi sejak lima tahun lalu yang mana memerlukan penjagaan serta rawatan rapi.

Sabri mengangkat ibunya yang menghidap penyakit parkinson dan darah tinggi sejak lima tahun lalu ke atas kerusi roda.

“Saya tidak mempunyai kereta dan apabila tiba masa rawatan ibu saya akan menyewa teksi atau kenderaan kawan untuk bawanya ke hospital.

"Sekiranya tidak cukup wang, saya akan bawa ibu dengan menaiki motosikal roda tiga yang saya gunakan untuk bekerja.

“Walaupun ibu mendapat bantuan zakat RM300 sebulan namun ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan termasuk membeli susu dan kos ulang alik ke hospital,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mengharapkan pertolongan adik-beradik lain berikutan memahami keadaan mereka yang juga hidup susah sepertinya.

“Ayah sudah lama meninggal dunia dan dia pula tidak meninggalkan sebarang harta memandangkan kami hidup susah sejak dahulu lagi, namun saya tetap bersyukur dengan rezeki yang ada.

“Selagi saya mampu jaga ibu, saya tidak akan susahkan adik beradik lain apatah lagi memahami keadaan mereka yang turut dihimpit masalah kewangan,” katanya.- Sinar Harian.

Artikel Lain