suria

Penangan cendol Musang King RM38 semangkuk!

Perniagaan cendol Muhammad Ariff Qayyum semakin maju sejak viral kisah harga RM114 yang dikenakan kepada pelanggannya awal tahun ini.

KISAH cendolnya pernah tular. Kecoh netizen dengan komen masing-masing di laman maya. Ada yang bersifat pedas, ada juga yang menyokong peniaga berkenaan.

Hakikatnya, cendol yang ditularkan dalam media sosial itu adalah menu istimewa - ditambah beberapa ulas durian premium, Musang King yang ditawarkan pada harga RM38 semangkuk!

Malah, harga cendol yang dijual di gerai Raja Cendol Taming Sari itu memang sedia dipamerkan dalam menu mengikut jenis durian.

Berdasarkan dua faktor itu, tidak hairanlah jika ramai netizen menyokong pemilik gerai berkenaan Muhammad Ariff Qayyum Mohd Zamri dan berpendapat harga RM38 untuk semangkuk cendol Musang King adalah berpatutan.

Bagaimanapun, peniaga berusia 25 tahun itu tidak mudah melatah, sebaliknya menyelesaikan permasalahan cendolnya yang ditularkan dengan cara tersendiri.

Pada Februari lepas, sekeping gambar tular dalam media sosial memaparkan resit pembelian tiga mangkuk cendol Musang King di gerai Raja Cendol Taming Sari berharga RM114, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk mendakwa harga tersebut terlalu mahal.

Berikutan penularan itu, Muhammad Ariff Qayyum mendakwa gerainya yang terletak dalam perkarangan Menara Taming Sari - destinasi terkemuka pelancong di Bandar Hilir - itu bukan sahaja semakin dikenali malah pelanggannya juga bertambah.

“Saya pasti penggemar durian tahu bahawa harga yang ditetapkan itu adalah munasabah. Saya bersyukur, sejak gambar itu tular, pekerja kami tidak menang tangan melayan pelanggan. Ramai yang ingin menikmati cendol Musang King, malah hasil jualan turut meningkat tiga kali ganda selepas penularan gambar itu,” katanya kepada Bernama.

Gandingan cendol dan isi durian Musang King yang lemak berkrim itu menjadikan cendol Raja Cendol Taming Sari sentiasa mendapat sambutan apatah lagi, banyak pilihan yang ditawarkan.

Beliau berkata, harga pelbagai cendol durian seperti yang dipamerkan pada menu adalah  berpatutan iaitu Musang King dijual dengan harga RM38, durian Udang Merah (RM20), D24 (RM20), durian Kahwin (RM17) dan cendol biasa (RM7).

Hanya durian berkualiti 

Cendol, asalnya merupakan hidangan pencuci mulut yang di terdiri daripada campuran isi cendol berwarna hijau yang diperbuat daripada tepung beras (ada yang mencampurkan sedikit tepung jagung), santan, ais yang dikisar dan sirap gula perang atau gula melaka, kini dipelbagaikan dengan lebih banyak pilihan. Antaranya adalah jagung, kacang merah, aiskrim, pelbagai jeli, laici, kekacang, buah-buahan tempatan dan banyak lagi.

“Paling laris adalah cendol Musang King. Kira-kira 20 kilogram isi durian diperlukan setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin ramai. Contohnya, antara 120 gram hingga 150 gram durian diperlukan untuk setiap hidangan cendol Musang King. Kebanyakan durian diambil dari Johor dan Pahang,” kata anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.

Memandangkan beliau hanya memilih durian yang berkualiti, maka terpaksa berhadapan cabaran harga durian yang sentiasa berubah dari masa ke masa, namun baginya itu bukan alasan untuk putus asa.

“Misalnya, ketika ‘musim kecil’ iaitu antara bulan November hingga Januari, harga durian adalah jauh lebih mahal kerana kurang pembekal, manakala ketika ‘musim besar’ iaitu antara bulan Mei hingga Ogos, harganya jatuh. Murah atau mahal saya tetap kena beli untuk stok kami,” katanya.

Selain cendol, terdapat lebih 10 menu lain turut dihidangkan di gerai yang dibuka kira-kira dua tahun lalu itu termasuk, Limau Nanas Fruity, ABC Taming Sari, Dim Sum, Durian Mochi, Ais Krim Durian, Durian Dodol, Durian Candy dan Durian Moon Cake.

Mulanya hanya suka-suka  

Bermula dengan sekadar ‘suka-suka’ menceburi bidang perniagaan bagi mengisi masa lapang, Muhammad Ariff Qayyum, sama sekali tidak menyangka perniagaan cendolnya kini mampu menjana pendapatan purata kira-kira RM90,000 sebulan.

Anak sulung kepada empat adik-beradik itu berkata, pendapatannya meningkat sehingga RM150,000 sebulan ketika musim cuti sekolah, berikutan pertambahan pelancong di kawasan berkenaan.

“Sebelum ini saya bekerja membantu perniagaan keluarga di sebuah kilang produk makanan berasaskan durian di Melaka Halal Hub, Serkam, Jasin, dengan gaji kira-kira RM2,000 sebulan. Memandangkan durian adalah buah bermusim, saya ada banyak masa yang perlu diisi kerana tidak melakukan apa-apa aktiviti.

“Susulan itu, berbekalkan modal sebanyak RM25,000 hasil simpanan ketika bekerja di kilang, saya menyatakan hasrat kepada keluarga untuk memulakan perniagaan cendol, memandangkan bapa dan ibu saudara mempunyai resipi untuk membuat cendol yang sedap,” katanya.

Beliau mendapat sokongan bapanya, Mohd Zamri Mohd Taib, 51, kini merupakan penasihat perniagaan cendolnya, yang mencadangkan agar mempelbagaikan menu dengan menambahkan Musang King serta sirap gula melaka agar lebih enak.

Raja Cendol Taming Sari mencatatkan jualan kira-kira RM950,000 pada 2018 dan menyasarkan jualan sebanyak RM1.2 juta pada penghujung tahun ini selain bercadang untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur dan Johor dalam masa terdekat.

Usahawan perlu berani 

Muhammad Ariff Qayyum berkata golongan muda perlu berani untuk menceburkan diri dalam perniagaan dan buktikan kebolehan serta keupayaan untuk berjaya.

“Anak-anak muda hendaklah sanggup menghadapi risiko bidang keusahawanan. Kerajaan memberikan pelbagai bantuan dan pembiayaan untuk golongan muda menjadi usahawan, maka rebutlah peluang yang disediakan kerana bidang ini juga memberi pulangan yang baik jika diusahakan dengan betul,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan dari Seremban, Negeri Sembilan, Abdul Manaf Ibrahim, 47, memberitahu amat tertarik dengan pelbagai menu hidangan cendol yang ditawarkan di premis Raja Cendol Taming Sari itu sejak dua tahun lalu.

“Apa yang membezakan cendol ini dengan yang lain adalah rasanya asli manakala perisa tambahan yang disediakan juga jarang terdapat di kedai lain.

“Saya suka durian dan tidak melepaskan peluang menikmati cendol durian di sini apabila datang ke Melaka dan cendol durian Musang King ini adalah yang terbaik,” katanya.-Bernama





Artikel Lain