HARGA runcit bagi minyak petrol RON97 naik sebanyak empat sen seliter iaitu daripada RM2.53 seliter kepada RM2.57 seliter. Kementerian Kewangan berkata, berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM). "Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.08 seliter dan harga runcit diesel kekal pada paras RM2.18 seliter," katanya menerusi satu kenyataan. Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.27 seliter dan RM2.29 seliter masing-masing. Bagaimanapun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 13 Julai sehingga 19 Julai 2019 adalah berjumlah RM114.06 juta.- Sinar Harian.