suria

Penularan koronavirus tidak jejaskan ekonomi negara - Azmin

Koronavirus akan menjejaskan pertumbuhan negara sekiranya penularannya berterusan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO: BERNAMA.

KLUSTER 2019 Novel Koronavirus tidak memberi sebarang implikasi kepada ekonomi Malaysia setakat ini tetapi akan menjejaskan pertumbuhan negara sekiranya penularannya berterusan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata masih belum ada keperluan untuk Malaysia menghentikan sementara aktiviti import eksport barangan dari China, terutamanya Wuhan dan kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif untuk menangani jangkitan tersebut dan memantaunya secara dekat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka sudah ada perancangan melawat” - Ramai pertikai bagaimana ahli keluarga lain ‘lepas’ masuk Malaysia walau dua dah ditahan di Singapura

"Seperti yang berlaku dengan penyakit lain sebelum ini, sekiranya berterusan pasti akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Namun, saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana ini perkara serius yang perlu dipantau oleh agensi dan kementerian berkenaan. Kita akan ambil maklumat dan nasihat daripada mereka tentang apakah langkah seterusnya untuk diambil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama strategik antara Petroliam Nasional Bhd dan Agrobank pada Selasa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO: BERNAMA.

Setakat ini, empat kes koronavirus telah dikesan di negara ini.

Mengenai prestasi ringgit dan pasaran saham yang agak rendah berbanding pasaran serantau, Azmin berkata asas ekonomi Malaysia masih kukuh dan pelabur tetap yakin untuk memilih Malaysia sebagai destinasi yang strategik.

Katanya sejak setahun lalu kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mengembalikan keyakinan pelabur dengan menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

"Daripada statistik, keyakinan pelabur telah kembali untuk datang ke Malaysia dan dengan pengumuman mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International yang baik baru-baru ini pastinya dapat membantu memulihkan keyakinan pelabur.

"Asas kita kekal kukuh dan kini keyakinan pelabur kembali kepada Malaysia dan kita berasakan 2020 merupakan tahun yang lebih baik untuk melihat kejayaan ekonomi negara," katanya. - BERNAMA.

Artikel Lain