suria

Risiko kecemasan koronavirus di China berada pada tahap tertinggi, WHO akui silap buat penilaian

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus sebelum ini berkata masih awal untuk isytihar darurat kesihatan global. -foto AFP

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikritik berhubung pengendalian wabak-wabak penyakit berjangkit sebelum ini, pada Isnin mengakui kesilapannya dalam menilai risiko virus terbaharu dari China.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu yang berpangkalan di Geneva dalam satu laporan keadaan berkata, risiko wabak adalah 'sangat tinggi di China, tinggi di peringkat serantau dan tinggi di peringkat global'.

Dalam satu nota kaki, WHO menjelaskan bahawa kenyataan dalam laporannya pada Khamis, Jumaat dan Sabtu lalu adalah 'tidak betul' apabila menyatakan risiko peringkat global adalah 'sederhana'.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan gantung serta merta visa rakyat China dari Wuhan, Hubei

Pembetulan penilaian risiko global itu bagaimanapun tidak bermakna ia mengumumkan situasi darurat kesihatan antarabangsa.

WHO pada Khamis lalu tidak mengisytiharkan koronavirus sebagai darurat kesihatan awam peringkat antarabangsa.

Virus itu, pertama kali dikenalpasti di bandar Wuhan, China pada 31 Disember sehingga kini telah menjangkiti lebih daripada 2,700 orang di seluruh dunia, termasuk kes-kes lain yang dikenalpasti di negara lain.

Setakat ini 82 orang telah meninggal dunia, semuanya di China.

Perdana Menteri China Li Keqiang memakai topeng dan sut perlindungan ketika bercakap dengan petugas perubatan dalam lawatannya ke Hospital Jinyintan, Selasa. -foto REUTERS

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang mengunjungi China pada Isnin bagi membincangkan cara-cara membasmi wabak itu diasak oleh para wartawan mengenai keputusannya untuk tidak mengisytiharkan darurat.

Sesetengah wartawan bertanya sama ada keputusan itu 'dipolitikkan'.

Bagaimanapun, pada taklimat di ibu pejabat WHO, Tedros berkata bahawa penunjuk itu boleh diubah pada bila-bila masa dan risiko global akibat wabak itu adalah 'tinggi'.

"Di China ia adalah kecemasan tetapi ia belum menjadi kecemasan untuk kesihatan global, ia mungkin akan berlaku.

"Penilaian risiko WHO menyatakan bahawa wabak itu adalah sangat berisiko tinggi di China dan berisiko tinggi di peringkat serantau dan global," katanya.

Agensi itu menambah bahawa kesilapannya yang dibuat dalam tiga laporan keadaan sebelum ini adalah 'kesilapan dalam perkataan'.

Ditanya mengenai pembetulan itu, Pengarah bersama Sekolah Kesihatan Awam Switzerland, Antoine Flahault memberitahu AFP: "Ini adalah satu kesilapan. Semestinya ia satu perkara yang besar, tetapi saya menganggapnya sebagai satu kesilapan yang telah diperbetulkan".

Pendekatan WHO yang berhati-hati terhadap wabak ini yang dicabar oleh beberapa pengkritik dapat dilihat dalam konteks kritikan masa lalu berhubung terma yang digunakan termasuklah ketika H1N1 pada 2009.

Semasa wabak itu, agensi kesihatan PBB itu dikritik kerana menimbulkan panik dengan pengumumannya bahawa wabak itu telah mencapai pandemik dan kemudian menimbulkan kemarahan apabila ternyata virus itu tidak begitu berbahaya seperti yang diumumkan.

Tetapi pada 2014, WHO dikritik hebat kerana mengambil ringan wabak Ebola di tiga negara Afrika Barat, meragut lebih dari 11,300 nyawa pada masa ia berakhir pada 2016. -Channel News Asia

koronavirus, WHO, kecemasan, wabak, risiko

Artikel Lain