suria

Awas! Tiada lagi nasihat... Polis guna mod keras jika ingkar PKP fasa 2

Anggota polis bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa kenderaan dalam sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua. Foto Bernama

PIHAK berkuasa kini menggunakan tindakan keras terhadap mana-mana individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, langkah sedemikian bagi memastikan orang ramai lebih bertangungjawab dan mematuhi arahan sepanjang tempoh fasa kedua PKP bermula Selasa.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata, rekod menunjukkan seramai 562 individu ditahan kerana mengingkari PKP pada hari pertama fasa kedua, Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penguatkuasaan PKP lebih tegas...“Sebenarnya ini kemahuan rakyat” - Ismail Sabri

ARTIKEL BERKAITAN: PKP Fasa 2 lebih tegas, perjalanan beli barang dihadkan dalam jarak 10km dari kediaman

ARTIKEL BERKAITAN: PKP fasa 2: Hanya seorang dalam satu kenderaan... sekatan jalan raya, plaza tol lebih banyak

Katanya, jumlah itu menyaksikan penurunan berbanding 583 individu ditahan pada hari sebelumnya (31 Mac) menerusi sekatan jalan raya dan rondaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama pihak tentera.

“Ia menyaksikan kadar 3.6 peratus penurunan dari segi jumlah tangkapan. Jika trend penurunan pematuhan perintah, maka ia baik... rakyat mulai sedar tanggungjawab mereka untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, pihak polis masih meneruskan tanggungjawab mereka bagi memastikan seluruh rakyat mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan. 

“Tindakan-tindakan polis kini di tahap keras. Mula-mulanya berlembut dan nasihat, selepas itu bertukar kepada tegas dan kini adalah mod keras,” katanya pada sidang media, Khamis.

Anggota polis membuat sekatan jalan raya dalam pelaksanaan PKP fasa kedua ketika tinjauan fotoBernama di plaza tol. Foto Bernama

Ini kerana katanya, masih terdapat individu yang mengingkari tempoh PKP sejak ia dikuat kuasakan pada 18 Mac.

“Sepanjang tempoh PKP seramai 4,189 individu ditahan, dan daripada jumlah itu seramai 1,449 individu dituduh di mahkamah.

“Ada di antara mereka telah dijatuhkan hukuman... hukuman bukan setakat berupa denda, hukuman juga berupa penjara. Ada kes penjara telah dikenakan kepada mereka selama lapan bulan.

“Bukan kesalahan ingkar semata-mata, tetapi kesalahan lain seperti melawan polis dianggap mengganggu pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan ke atas mereka,” tambah Ismail Sabri.

Mengenai operasi PKP pada Rabu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 687 sekatan jalan raya dilaksana dan 380,342 kenderaan.

PKP kini memasuki fasa kedua selepas kerajaan melanjutkan tempoh penguatkuasaan sehingga 14 April, bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negara ini.

PKP, keras, mode, sekatan, rondaan, PDRM

Artikel Lain