suria

Tak ada yang terkecuali... semua yang masuk ke Malaysia akan ‘dijemput’ jalani tempoh kuarantin

Semua penumpang yang tiba di pintu masuk negara akan menjalani kuarantin wajib mulai esok.

MULAI esok (Jumaat), semua penumpang yang masuk ke dalam negara sama ada menerusi jalan darat, udara mahupun laut akan menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi menguatkuasakan perkara itu, pihak berkuasa akan melakukan pemantauan yang ketat di setiap pintu masuk ke dalam negara.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kaum keluarga tak payah sambut di airport” - Rakyat Malaysia pulang dari luar negara terus dikuarantin di tempat khas

"Esok (Jumaat) bermulanya kuarantin wajib bagi rakyat kita yang pulang dari luar negara. Setiap rakyat atau warga mana sekali pun yang masuk akan dikuarantin.

"Bukan saja yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tapi juga di semua pintu masuk sama ada di Johor, di utara atau di negeri-negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya dalam sidang media harian Covid-19 pada Khamis.

Menurut menteri itu lagi, kesemua mereka yang tiba di pintu masuk akan terus dibawa ke pusat kuarantin dengan menaiki bas, selepas menjalani prosedur imigresen.

Mereka yang tiba di pintu masuk dalam negara akan terus dibawa ke pusat kuarantin yang disediakan dengan menaiki bas. Foto: Bernama.

"Bila saja sampai pintu masuk, lepas pemeriksaan imigresen, mereka akan terus dibawa oleh bas untuk ke pusat kuarantin yang kita sediakan," ujarnya.

Tambah Ismail, kerajaan sudah mewujudkan pasukan khas (task force) yang berperanan mengendalikan dan menguruskan semua rakyat yang ditempatkan di pusat kuarantin yang disediakan.

"Kita ada task force khusus di pusat kuarantin untuk menjaga kebajikan rakyat kita yang ditempatkan di sana, sama ada dari segi makan dan minum pun ada disediakan.

"Semuanya dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," kata Ismail lagi.

Tegasnya, kesemua yang ditempatkan di pusat kuarantin akan menjalani proses pengasingan berkenaan selama 14 hari.

Ismail sebelum ini memberitahu bahawa tiada keperluan untuk ke lapangan terbang bagi menyambut ahli keluarga yang pulang dari luar negara kerana mereka akan terus dibawa ke pusat-pusat kuarantin yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Ini kerana katanya, antara faktor peningkatan kes Covid-19 di kebanyakan negara disebabkan rakyat mereka pulang dari luar negara dan dijangkiti virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan masih ramai rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah atau home/self surveillance.

kuarantin, pintu masuk, SOP, Covid-19

Artikel Lain