suria

Keputusan MAS mula operasi ke Sabah, Sarawak... ini penjelasan menteri kanan!

MAS akan menyambung semula penerbangan ke Sabah dan Sarawak bermula Khamis.

SUSULAN ramai mempertikaikan keputusan Malaysia Airlines (MAS) menyambung semula operasi penerbangan ke Sabah dan Sarawak dengan kekerapan sekali seminggu bermula esok, kerajaan tampil menjelaskan perkara tersebut.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penerbangan tersebut diluluskan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memudahkan penumpang dari Sabah dan Sarawak yang selesai menjalani kuarantin wajib selama 14 hari untuk pulang ke negeri masing-masing.

"Ramai juga bertanya dan mempersoalkan perkara ini. Sebenarnya mereka yang dikuarantin awal sudah mula keluar daripada pusat kuarantin, ada yang dari Sabah dan Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: MAS mula operasi ke Sabah, Sarawak, penumpang demam tak digalakkan naik pesawat

"Jadi sebab itu MAS dan MOT selepas berbincang dengan kita berpandangan bahawa perlu ada penerbangan pulang supaya mereka tidak perlu lagi dikuarantin kerana tamat 14 hari," katanya pada sidang media harian di Putrajaya petang Rabu.

Malah Ismail Sabri berkata, penerbangan ke Sabah dan Sarawak juga dibenarkan untuk beroperasi untuk menyelesaikan isu penumpang yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Sebab kalau kita tak ada penerbangan untuk pulang sebelum 1 Mei nanti bermakna mereka perlu ada di sini selama dua minggu lagi, sedangkan kita sediakan pusat tinggal sementara di dalam KLIA untuk sehari atau dua sebelum penerbangan ke Sabah dan Sarawak.

"Jadi kita berterima kasih kepada MOT kerana sediakan penerbangan ke Sabah dan Sarawak walaupun sekali seminggu. Ada juga cadangan penerbangan dua kali seminggu tapi berdasarkan keperluan," katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat ramai penumpang di kedua-dua negeri itu terkandas di ibu negara, kerajaan akan meminta supaya MOT membenarkan MAS untuk membawa mereka pulang.

"Kalau perlu dua kali seminggu, jika tidak ramai terkandas nak balik ke Sabah dan Sarawak, kita minta MOT benarkan MAS bawa mereka pulang," katanya.

MAS dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan akan menyambung semula operasi penerbangan ke Sabah dan Sarawak dengan kekerapan sekali seminggu, bermula esok.

Namun Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penumpang yang demam ataupun mempunyai gejala lain tidak digalakkan untuk menaiki pesawat bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Artikel Lain