KEUPAYAAN hospital di Malaysia dalam merawat kes-kes Covid-19 adalah terkawal. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keupayaan hospital merupakan salah satu daripada enam pematuhan kriteria yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ia boleh dilaksanakan di negara ini. Setakat ini, beliau memberitahu, penggunaan katil bagi pesakit positif Covid-19 adalah kurang 30 peratus. ARTIKEL BERKAITAN: Lanjut atau tamat PKP? KP Kesihatan akan bentang data terkini Covid-19 kepada PM beberapa hari lagi "Penggunaan ICU (Unit Rawatan Rapi) dan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan juga berkurangan. "Kapasiti kita ada, dan kita telah bersiap sedia dari segi itu," katanya pada sidang media, petang Jumaat. Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia telah memenuhi enam kriteria utama untuk menentukan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung atau tidak. Selain peningkatan fasiliti kesihatan, kriteria lain adalah kawalan sempadan untuk mengelakkan kes import, kawalan pergerakan untuk memastikan tiada rakyat tempatan dijangkiti dan pentingnya untuk rakyat berada di rumah dan keperluan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya (OKU). Kriteria lain adalah mengadaptasi normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai pelindung muka yang perlu dilakukan masyarakat hari ini, serta pemerkasaan komuniti yang penting untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu. PKP yang dikuat kuasakan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 sejak 18 Mac lalu bakal memasuki fasa keempat bermula 29 April hingga 12 Mei depan.