suria

Apa yang boleh, tak boleh buat di zon hijau? Tunggu minggu depan, kata Ismail Sabri

SOP di kawasan zon hijau akan dimuktamadkan minggu depan. Gambar sekadar hiasan.

PROSEDUR operasi standard (SOP) di kawasan yang diisytiharkan zon hijau akan dimuktamadkan minggu depan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, buat masa ini SOP tersebut sedang dirangka dan dikaji Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Banyak zon telah diisytihar zon hijau dan kita masih lagi berbincang mengenai SOP ini jika ada kelonggaran di zon tersebut, SOP tetap perlu dipatuhi.

ARTIKEL BERKAITAN: SOP baharu ikut zon akan diperkenalkan, ada kelonggaran dan diperketatkan - Ismail Sabri

“Jadi pihak MKN di dalam peringkat terakhir untuk bentang SOP lebih lengkap tentang zon hijau... tentang apa yang boleh dilakukan di zon tersebut, ” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, petang Selasa.

Jelasnya lagi, SOP itu mungkin memberi kelonggaran kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Sebagai contoh di kawasan tertutup dan berpagar katakanlah di Projek Perumahan Rakyat (PPR). Keseluruhan penduduk di PPR itu setelah sebulan lebih tidak dibenarkan keluar dan didapati tak ada gejala pun, mungkin kita cadangkan mereka dibenarkan keluar turun ke bawah.

Daerah yang diisytiharkan zon hijau pada Selasa.

“Tapi mereka tidak boleh lagi keluar dari luar kawasan mereka. Mungkin dalam kawasan berpagar saja... boleh bawa anak turun bawah. SOP dikeluarkan mungkin block by block, masa ditentukan dua tiga jam ikut blok.

“Semua sedang dirangka MKN dan kita sedang dapat input daripada seluruh kementerian supaya SOP yang dikeluarkan menyeluruh. InsyaAllah saya percaya minggu depan saya fikir dapat finalize SOP tersebut yang mungkin saya umumkan nanti, ” katanya.

Mengenai cadangan pembukaan kedai pajak gadai pula, Ismail Sabri berkata perkara itu hanya akan dipertimbangkan sebaik saja SOP baharu di zon hijau dikeluarkan nanti.

“Saya tak tahu pejabat gadai Ar-Rahnu di Bank Rakyat dibuka ke tidak, kalau Bank Rakyat dibuka mungkin kita boleh benarkan Ar-Rahnu di dalam Bank Rakyat dibuka.

“Tentang kedai pajak gadai lain belum boleh dibuka. InsyaAllah perkara ini kita akan tengok di zon hijau, SOP yang dikeluarkan MKN nanti.

“Tapi saya percaya (kedai pajak gadai) bukanlah keperluan asas seperti membeli makan dan sebagainya, ” katanya.

Berdasarkan infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan CPRC KKM pada Selasa turut memaklumkan bahawa zon Hijau meningkat kepada 77 daerah, berbanding 68 daerah semalam.

Antaranya Kota Bharu (Kelantan), Perlis, Bentong, Jelebu, Hulu Perak, Sebauh (Bintulu, Sarawak) dan Beluran (Sabah).

Artikel Lain