suria

“Baik disiplin, susah sekarang untuk senang di masa depan” - Ismail Sabri minta rakyat bersabar, terus patuhi PKP

Sekatan jalan raya diadakan sepanjang tempoh PKP. Foto Bernama

JUMLAH tangkapan yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tidak menentu meskipun ia telah dikuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tangkapan kerana mengingkari PKP sehingga kini adalah seramai 21,106 individu.

“Jumlah tangkapan masih turun naik... dari segi pematuhan.

“Kadang-kadang elok, kadang-kadang lebih teruk daripada sebelumnya. Hari tu dah turun 300 lebih kemudian naik 600 lebih,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perbandingan PKP fasa ketiga dengan PKP fasa pertama dan kedua.

Ismail Sabri berkata, sama ada PKP segera ditamatkan atau tidak bergantung kepada kerjasama dan pematuhan rakyat terhadap pelaksanaan PKP.

“Kalau kita patuh PKP, jumlah kes berkurangan mungkin kita dapat tamatkan lebih awal dan banyak kelonggaran yang kita boleh nikmati.

“Walaupun sekarang ni nampak berkurang, kadang-kadang boleh naik juga. Berlaku di beberapa negara, jumlah kes dah turun dan apabila buka lockdown, tiba-tiba kes kembali meningkat dan tempoh PKP lebih lama berbanding sebelumnya.

“Apa yang patut kita buat adalah patuh, bila buka (PKP ditamatkan) kita akan buka sampai bila-bila.

No point kita buka (tamat) dua minggu, tiba-tiba ada berlaku kenaikan memuncak menyebabkan kita terpaksa menutup semula dan menyukarkan hidup kita. Baik kita disiplin, bersusah sekarang, untuk bersenang di masa-masa akan datang,” katanya.

PKP fasa pertama mula dikuat kuasakan pada 18 Mac lalu sehingga 31 Mac, sebelum dilanjutkan ke fasa kedua (1 April - 14 April), fasa ketiga (15 April - 28 April) dan fasa keempat (29 April - 12 Mei).

PKP, lockdown,

Artikel Lain