suria

Ahli Parlimen ditegur, jangan heret negara sekali lagi ke kancah politik ketika rakyat berdepan pandemik Covid-19

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa bertitah pada pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua Ahli Parlimen supaya tidak mengheret negara ke kancah politik sewaktu rakyat berdepan waktu sukar akibat pandemik Covid-19.

Titah Baginda, wakil rakyat perlu mempamerkan kematangan dalam berpolitik, yang mana kesepaduan antara rakyat dan kerajaan mampu membentuk negara stabil, aman dan sejahtera.

"Jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik Covid-19. Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian bermula di dalam dewan yang mulia ini.

"Beta yakin, rakyat akan terus erat bersatu-padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

"Justeru, berbahaslah dengan penuh tanggungjawab dan sentiasalah menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi oleh rakyat jelata," titah Al-Sultan Abdullah ketika istiadat pembukaan sidang Parlimen bagi mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14, pagi Isnin.

Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Al-Sultan Abdullah di Parlimen, Kuala Lumpur pada pagi Isnin.

"Ahli Parlimen perlu menjiwai keluh kesah rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa," tambah Baginda.

Agong dan semua ahli Parlimen pada Isnin juga berdiri memberi penghormatan sambil memberikan tepukan yang gemuruh kepada petugas barisan hadapan memerangi Covid-19.

"Kita telah menghadapi dan menangani wabak ini dengan bersatu padu sebagai sebuah bangsa malaysia yang kuat, cekal dan berdisiplin. Dalam saat getir ini, petugas barisan hadapan negara terutamanya perkhidmatan kesihatan; Angkatan Tentera Malaysia; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Jabatan Imigresen Malaysia; Agensi Pengurusan Bencana Negara; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain-lain agensi yang turut terlibat telah tampil dengan penuh dedikasi yang tinggi menghadapi serangan wabak ini.

"Pengorbanan mereka tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan orang ramai.

"Justeru, sebagai tanda penghargaan negara, marilah bersama-sama dengan beta untuk berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh kepada semua wira dan wirawati petugas barisan hadapan negara," titah Baginda.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam.

Kesemua Ahli Parlimen kelihatan memakai topeng muka sepanjang berada di Dewan Rakyat ketika sesi titah Agong.

Pembukaan persidangan Parlimen penggal kali ini mencatat sejarah apabila ia berlangsung tanpa sidang penuh.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada asalnya dijadual pada 9 Mac sehingga 16 April lalu, namun ditangguhkan kepada persidangan sehari pada 18 Mei berikutan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir 9 Jun nanti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain