SEGELINTIR orang ramai didapati masih tidak memberikan nama atau nombor telefon yang sebenar apabila mendaftar masuk ke premis perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, orang ramai tidak perlu bimbang kerana nombor kad pengenalan dan alamat rumah tidak diperlukan untuk mendaftar masuk, tetapi sekadar nama sebenar dan nombor telefon yang mudah untuk dihubungi. "Tujuannya sekiranya berlalu apa-apa berkaitan dengan Covid-19. Katakan ada yang positif, jadi kita boleh menghubungi mereka yang meninggalkan nombor telefon. "Tapi saya difahamkan ada ramai yang beri nama atau nombor yang betul. Ada yang tulis nama sendiri, nama dia Badang ke Superman ke Batman ke, macam-macam lagi. "Kalau jadi apa-apa, tak boleh nak hubung dia," katanya pada sidang media.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masih terdapat organisasi dan syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meminta nombor kad pengenalan semasa mendaftar masuk ke premis mereka semasa PKPB. Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kemungkinan premis meminta nama pada kad pengenalan supaya nama sebenar boleh diketahui. "Jadi, saya harap kepada pengunjung-pengunjung premis-premis perniagaan sama ada restoran dan sebagainya... letak nama dan nombor telefon yang sebenar. "Sebab kalau terjadi apa-apa kecemasan dan dia adalah kontak rapat dengan yang berkait positif Covid-19. Kalau restoran telefon, tengok nama Superman, siapa dia? "Tiba-tiba nombor pun tak betul, dia main tulis je nombor. Akhirnya yang susah adalah mereka yang tak bagi nombor dan nama sebenar," tambahnya. Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kekurangan pusat kuarantin di Sabah merupakan punca pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Sabah tidak dibawa pulang sebagaima yang menjadi rungutan segelintir ibu bapa. Beliau bagaimanapun berkata, perkara tersebut telah diselesaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama Kerajaan Negeri Sabah "Oleh kerana, kita sudah menganggap pelajar-pelajar ini datang dari kampus mereka di kawasan zon hijau lebih satu bulan, tiada ada gelaja dan sebagainya, jadi Kementerian Kesihatan menganggap mereka bersih daripada Covid-19. "Kalau dulu, semua pelajar yang balik akan dikuarantin. Jadi, kita membuat persetujuan bahawa sebelum mereka pulang, mereka akan menjalani saringan kesihatan melalui ujian swab. Jika negatif, mereka boleh terus balik ke Sabah dan tidak akan dikuarantin di pusat kuarantin tetapi kuarantin di rumah. "Ini membolehkan pelajar-pelajar dari Sabah untuk dihantar pulang ke Sabah. Yang positif pastinya dihantar ke hospital," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!