M SUGU, suami kepada Youtuber masakan terkenal, S Pavithra terpaksa menunggu kira-kira seminggu lagi untuk menyelesaikan proses menarik balik pertuduhan yang dikenakan terhadapnya berhubung kes pukul isterinya Julai lalu. Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman yang menjelaskan perkara itu kepada Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, pihaknya belum menerima apa-apa arahan lanjut untuk menarik balik pertuduhan ke atas lelaki berusia 29 tahun itu.ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi kes pukul, duo YouTuber Sugu Pavithra tidak perlu bimbingan kaunseling JKM "Surat rasmi penarikan balik kes daripada isteri tertuduh telah diterima pada 4 September lalu. "Bagaimanapun saya masih belum menerima arahan lanjut daripada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Perak untuk menarik balik kes berkenaan,"katanya dipetik Kosmo. Terdahulu, peguam bela Jude Pereira yang mewakili Sugu memberitahu mahkamah bahawa Pavithra, 28, telah membuat laporan polis untuk menarik balik kes. Katanta, Pavithra juga menghantar surat rasmi kepada pihak pendakwaan untuk menarik balik kes mendatangkan kecederaan itu. Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir kemudian menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan kes. Mengikut pertuduhan, Sugu didakwa mendatangkan kecederaan pada bibir, pipi kiri dan lengan kanan Pavithra menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) antara pukul 4 petang hingga 5 petang 21 Julai lalu. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika didapati bersalah. Sementara itu, mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan kes memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis tiger di parkir HRPB pada pukul 6 petang 21 Julai lalu. Sebelum itu, peguam bela Muhamad Syahrul Nizam Mohd. Rabi memberitahu mahkamah pihaknya baru dilantik dan memohon masa untuk meneliti kesemua dokumen berkaitan kes. Bagi pertuduhan itu, Sugu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!