OLDTOWN White Coffee menolak dakwaan semua produk yang dijual di premis makanan dan minuman tersebut mengandungi babi atau sumber daripada haiwan itu. Penafian tersebut dibuat susulan penularan video yang mendakwa mi kari di premis rangkaiannya tidak halal kerana menggunakan daging babi. "OldTown White Coffee menolak semua khabar angin dan dakwaan bahawa produk-produk kami mengandungi bahan babi. "Dakwaan dalam video yang sedang disebarkan di pelbagai saluran media sosial adalah tidak benar," kata pengurusan premis tersebut dalam satu kenyataan media. Menurut kenyataan itu lagi, semua cawangan premis makanan dan minumannya memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sejak 2010. "Pensijilan halal serta peraturan yang ditetapkan bukanlah sesuatu yang dipandang ringan. "Kami memastikan bahawa ramuan yang digunakan dalam makanan dan minuman kami langsung tidak mengandungi sebarang kandungan babi atau bahan tidak halal," katanya. Jakim menjelaskan mi kari dijual premis tersebut halal untuk dimakan. Malah katanya, wakil dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut berkunjung ke cawangan berkenaan bagi menjalankan siasatan lanjut. "Mereka mengesahkan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar. "Kami menggesa dan memohon bantuan para netizen supaya hentikan penyebaran sebarang maklumat palsu," katanya. Pada masa ini, OldTown White Coffee sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melemparkan tuduhan palsu tersebut. "Kami sedang berbincang dengan pihak guaman dan kami akan mengambil tindakan undang-undang sepenuhnya terhadap individu-individu yang didapati membuat tuduhan palsu," katanya. Menerusi semakan di Facebook, Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan premis tersebut merupakan pemegang SPHM yang sah. "Berdasarkan semakan pihak kami, premis makanan OldTown White Coffee merupakan pemegang SPHM yang sah. "Perlu difahami bahawa premis makanan yang memiliki SPHM bermaksud seluruh rantaian halalnya telah disemak dan disahkan oleh pihak berautoriti," katanya. Produk dan premis makanan yang memiliki SPHM boleh disemak menerusi Portal Halal Malaysia, www.halal.gov.my atau aplikasi telefon pintar SmartHalal. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!