suria

“Pecat saya sekali lagi...” - Annuar dakwa pemecatannya selaku Setiausaha Agung BN tidak sah

Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pemecatannya selaku Setiausaha Agung BN sebagai tidak sah.

TAN Sri Annuar Musa menyifatkan pemecatan dirinya selaku Setiausaha Agong Barisan Nasional (BN) pada Selasa, sebagai tidak sah.

Menerusi sidang media sebentar tadi, Annuar secara sinis meminta Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memecat dirinya sekali lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiausaha Agung BN Annuar Musa dipecat

"Walaupun Presiden Umno itu adalah Pengerusi BN, sepatutnya ia perlu mengambil kira pandangan parti-parti komponen lain bukannya pada peringkat Majlis Tertinggi Umno.

"Jadi saya cadangkan, pecat saya sekali lagi pada mesyuarat BN," katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sehingga kini beliau masih belum mendapat surat rasmi pemecatan tersebut.

"Saya tidak terima lagi, namun Setiausaha Agung BN yang baharu dilantik, Datuk Ahmad Maslan ada 'text' kepada saya. Dia jelaskan dia tak minta jawatan itu," katanya.

Annuar berkata, sepatutnya Ahmad tidak perlu berbuat demikian.

"Tidak perlu pun jelaskan kepada saya. Saya orang lama, saya tahu...," katanya.

Walau bagaimanapun katanya, beliau berlapang dada menerima pemecatan tersebut.

"Saya reda dengan pemecatan ini dan akan terus berjuang serta istiqamah atas wadah Umno," katanya.

Pada Selasa, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengesahkan bahawa dia telah dipecat oleh Ahmad Zahid.

Pemecatan Annuar berlaku ketika Umno menghadapi pergolakan ketika pemimpin tertinggi dan ketua bahagian berpecah sama ada parti itu harus terus bekerjasama dengan Perikatan Nasional, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Annuar dilihat memperjuangkan perlunya Umno bekerjasama dengan parti-parti komponen kerajaan Perikatan, tetapi menentang Zahid yang mengatakan bahawa Umno perlu melakukan cara yang tersendiri untuk memastikannya kekal sebagai parti Melayu yang dominan. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berikut

PRU15 dapat lampu hijau SPR

Artikel Lain