RAKYAT diseru untuk berganding bahu dan bekerjasama menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat, dalam usaha melawan pandemik Covid-19. Demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung menerusi RTM pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Agong bimbang peningkatan kes Covid-19, titah rakyat beri kerjasama kepada KKM "Beta menaruh sepenuh keyakinan, berbekalkan ikhtiar serta usaha kita semua menerusi Program Pemerkasaan Komuniti dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, akan membolehkan kita bangkit semula, bersama seiring dan sehaluan membina masa hadapan yang lebih gemilang buat negara yang dicintai ini. "Marilah kita bersama-sama meneruskan agenda memerangi pandemik Covid-19 dan menunaikan kewajipan untuk melindungi negara tanah tumpahnya darah kita," titah baginda. Titah baginda, ketika negara mula dilanda gelombang pertama pandemik Covid-19 awal tahun lalu, negara berjaya melandaikan lekuk peningkatan kes harian hasil usaha gigih pelbagai pihak serta kerjasama erat seluruh rakyat Malaysia. Namun baginda bertitah, pada tahun ini negara dikejutkan dengan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 yang telah membawa cabaran getir kepada petugas barisan hadapan dan fasiliti kesihatan negara, seterusnya mengubah falsafah kehidupan rakyat. Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda menyambut baik usaha kerajaan dalam merangka Program Pemerkasaan Komuniti yang menyaksikan penglibatan seluruh lapisan masyarakat dan pemimpin komuniti dalam mengurang serta mencegah jangkitan Covid-19. "Di samping itu, inisiatif yang dikenali sebagai 'Agen Basmi Covid-19' atau 'ABC-19' bakal menyaksikan penglibatan pelbagai entiti untuk bergabung tenaga dalam memperkasakan komuniti," titah baginda yang dalam masa sama menzahirkan kesyukuran atas usaha gigih kerajaan membawa vaksin yang berupaya melindungi rakyat daripada jangkitan Covid-19. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!