suria

PKP 3.0 diperketat! Sekatan tambahan diumum Sabtu - PMO

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 akan diperketatkan. - foto AP

SIDANG khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk memperketatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial akan dilaksanakan.

Perincian mengenai sekatan tambahan itu akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sidang khas MKN: Pengurusan Covid-19 yang diadakan pada petang Jumaat dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikut merupakan kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung PKP 3.0:

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 pada petang Jumaat yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah membincangkan secara mendalam situasi semasa penularan jangkitan Covid-19.

Mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung status terkini kes Covid-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Selain itu, sidang khas juga membincangkan status pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei 2021.

Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang.

Mengambil kira perbincangan dan penelitian dalam sidang khas pada Jumaat, mesyuarat sebulat suara bersetuju mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Sidang khas itu turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan Covid-19.

Perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan pada 22 Mei 2021 (Sabtu).

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain