suria

Terima panggilan anak dalam LRT, bapa sayu dengar jeritan, tangisan ramai mangsa – “Saya hanya mampu berdoa”

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut. - foto Bernama Gambar kecil: Kamarozaman Jamaludin

INSIDEN dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung pada Isnin malam menggemparkan negara, terutama keluarga mangsa.

Salah seorang ahli keluarga mangsa kemalangan tren LRT dikejutkan dengan suara tangisan dan jeritan anaknya yang menghubunginya pada Isnin malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.28 malam itu, mangsa, Nur Fashilah Al Jiilah, 25, sempat menghubungi bapanya, Kamarozaman Jamaludin, 55 memaklumkan kejadian itu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Movie baru nak mula, sekelip mata saya tercampak" - Mangsa kongsi detik cemas LRT bertembung, ibu 'bergegar jantung' lihat anak dalam gambar tular

ARTIKEL BERKAITAN: Impak 60km/j! LRT 213 penumpang dan tren rosak dipandu uji bertembung... 47 parah, 166 cedera ringan

Kamarozaman berkata, semasa menerima panggilan daripada Nur Fashilah kira-kira pukul 8.28 malam, dia dapat merasakan sesuatu tidak diingini berlaku membabitkan anak sulungnya itu.

"Anak saya memaklumkan tren dinaikinya terbabit dalam kemalangan dan pada waktu itu saya hanya mampu berdoa serta berpesan supaya tenangkan diri dan banyakkan beristighfar.

"Malah, lebih sayu apabila saya sendiri dapat mendengar jeritan dan tangisan mangsa-mangsa lain yang terbabit dalam insiden berkenaan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di perkarangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada awal pagi Selasa.

Menurutnya, ketika kejadian, anaknya itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Jalan Ampang ke rumah mereka di Klang.

"Perbualan anak juga terganggu dan dia kerap ulangi perkara sama, mungkin sebab trauma.

"Sekarang dia sedang dirawat, kakinya tidak boleh bergerak, saya sendiri tidak pasti keadaan sebenarnya kerana dia tidak banyak bercakap," ujarnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bagaimanapun, Kamarozaman berkata, dia dan keluarga bersyukur kerana Nur Fashilah terselamat dalam kemalangan itu dan menganggap apa yang berlaku sebagai ketentuan Ilahi.

"Gambar dan video yang tular itu menunjukkan ada darah yang mengalir, tetapi anak saya selamat," katanya.

Dalam kejadian pada jam 8.45 malam Isnin, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang serta sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut. - Sinar Harian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain