suria

Covid-19: Malaysia masih dalam situasi genting, penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

MALAYSIA kekal berada dalam situasi yang genting walaupun menunjukkan pengurangan jumlah harian kes Covid-19.

Dalam kenyataan pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran kepada rakyat Malaysia agar tidak leka kerana situasi penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius

"Jumlah kes Covid-19 yang aktif masih tinggi pada 82, 797, berikutan peningkatan kes yang mendadak pada ME (minggu epidemi) ke-20 dan ME ke-21.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Malaysia catat 5, 566 jangkitan baharu

"Kadar penggunaan katil Covid-19 di ICU telah meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei 2021 hingga 104 peratus pada 6 Jun 2021.

"Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, hospital di seluruh negara juga sedang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 yang berada bergejala serius (Kategori 4 dan 5).

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Pesakit-pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan Covid-19.

"Statistik yang diterima oleh CPRC Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan adalah selama 19 hari ke 26 hari,"ujar beliau.

Justeru, kata Dr Noor Hisham, KKM mengingatkan seluruh rakyat agar tidak leka dan memandang ringan dengan situasi terkini.

"Situasi ini tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa ini," kata Dr Noor Hisham.

Beliau menggesa orang ramai untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dan kekal di rumah kecuali jika benar-benar perlu untuk keluar.

Beliau juga menggesa mereka yang positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah (Home Surveilance Order) agar mematuhi segala peraturan supaya tidak menjangkiti orang lain.

"Sekiranya kesihatan anda merosot, hubungi perkhidmatan kecemasan dengan segera.

"Semua individu perlu berperanan menjadi agen perubahan di dalam komuniti dan mengambil tanggung jawab bersama agar kesinambungan kehidupan normal dapat dikecapi semula dengan kadar segera," katanya lagi. - THE STAR

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain