suria

Sedikit kelonggaran... pasar tani, pasar pagi dan cuci kereta dibenar beroperasi bagi negeri Fasa 2 PPN

Pasar tani dan pasar pagi dibenar beroperasi bagi negeri di bawah Fasa 2 PPN. Gambar hiasan

BEBERAPA kelonggaran diberikan kepada negeri yang berada di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Antaranya, pasar tani, pasar pagi dan perkhidmatan cuci kenderaan berlesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dibenar beroperasi.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, perkhidmatan tersebut tidak perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS yang diselenggara oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

ARTIKEL BERKAITAN: Giliran Pulau Pinang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara

Sebaliknya, memadai dengan hanya menunjukkan lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak PBT.

"Sekiranya lokasi perniagaan melibatkan pergerakan merentas daerah atau negeri, mereka perlu mendapatkan kebenaran PDRM dengan mengemukakan lesen perniagaan atau permit penjaja oleh PBT berkaitan, " katanya dalam kenyataan pada Selasa.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Untuk pasar pagi dan pasar tani, ia dibenarkan beroperasi bermula pukul 7 hingga 11.00 pagi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat meliputi bilangan pengunjung dan penjarakan minimum dua meter.

Selain itu, enam komoditi utama iaitu ikan, daging, ayam, telur, sayuran dan buah-buahan sahaja dibenarkan untuk dijual.

Sementara itu, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka.

Bagi perkhidmatan cuci kenderaan pula, kerja-kerja pembersihan yang dibenarkan adalah meliputi bahagian luaran kenderaan, enjin kereta, dalaman kereta, polish, wax serta pengewapan antibakteria dan pembasmian serangga ruangan dalam kenderaan.

"Orang ramai diminta untuk merujuk laman web rasmi KPKT bagi memuat turun SOP yang ditetapkan, " katanya. - SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain