suria

Mara laksana inisiatif pakej pemulihan ekonomi, manfaatkan lebih 20,000 usahawan

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata inisiatif itu bertujuan untuk membantu usahawan bumiputera. Foto: Bernama

SEJAK negara dilanda krisis pandemik Covid-19 pada tahun lalu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara), bagi memastikan usahawan dapat dapat terus kekal bertahan dan berdaya saing.

Inisiatif yang dilakukan secara berterusan sejak negara dilanda krisis pandemik Covid-19 tahun lalu telah memanfaatkan lebih 20,000 usahawan di bawah pakej pemulihan ekonomi.

Inisiatif yang dilaksanakan itu merangkumi pemberian moratorium pembiayaan, pengecualian dan diskaun sewaan premis, skim khas pembiayaan untuk usahawan terkesan serta penaiktarafan premis perniagaan, kata Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, Mara turut memutuskan untuk memberikan insentif tambahan berupa pengecualian bayaran dan diskaun 30 peratus ke atas premis perniagaan bermula Julai hingga Disember ini yang akan melibatkan 5,913 penyewa dengan nilai keseluruhan sebanyak RM14.89 juta.

"Melalui pemberian moratorium dan penjadualan bayaran balik kepada usahawan yang menerima kemudahan pembiayaan perniagaan, sebanyak 10,682 usahawan telah dibantu dengan implikasi kewangan sebanyak RM43.05juta.

"Di samping itu, Mara juga telah meluluskan dana Skim Pembiayaan Prihatin Mikro (S3P), SPiM Penjana IPTS dan PKS serta Skim Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan (SPAK) untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

"Setakat hari ini, seramai 2,790 usahawan telah menerima manfaat pembiayaan dengan peruntukan sebanyak RM305.26 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Abd Latiff berkata, Mara turut memberikan fokus untuk membantu usahawan bumiputera ke arah pendigitalan, penyediaan latihan mempelbagaikan cabang dan perluasan rantaian perniagaan serta mengadakan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan swasta.

Katanya, kesemua Inisiatif yang dilaksanakan itu bukan sekadar bagi membantu perniagaan kekal bertahan tetapi juga untuk memastikan peluang pekerjaan dapat terus diwujudkan.

"Umpamanya, penyewa di premis perniagaan Mara pada hari ini telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 15,000 orang. Jika perniagaan mereka terpaksa ditutup ia secara langsung akan menjejaskan pendapatan pekerja terbabit," katanya. -SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain