PAKATAN Harapan sedia membantu menstabilkan suhu politik jika kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menangani isu Covid-19 dengan baik dan memberi tumpuan terhadap program pro-rakyat. Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan dengan perdana menteri di Putrajaya pada petang Rabu merupakan satu permulaan yang baik. ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dan rakan-rakan bertemu perdana menteri, ‘tak datang untuk minta jawatan’ "Kita dijemput oleh perdana menteri untuk mengadakan pertemuan selama lebih sejam. "Kita kemukakan tentang menangani permasalahan Covid-19 yang lebih berkesan dan program pro-rakyat yang lebih menyentuh kepada permasalahan golongan miskin dan kehilangan pekerjaan. "Itu yang kami tekankan sebagai (perkara) asas," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri. Antara lain yang dibincangkan termasuklah hal ekonomi dan moratorium. (Foto: Pejabat Perdana Menteri) Beliau juga memberi jaminan bahawa keadaan politik akan lebih terkawal jika kedua-dua perkara itu dapat diterjemahkan dengan baik oleh kerajaan. "Untuk mententeramkan keadaan dan mengurangkan suhu politik, itu yang kami kemukakan sebagai keutamaan," katanya. Mengenai undi percaya di Dewan rakyat bagi menentukan keabsahan perdana menteri, Anwar berkata pembangkang tidak akan mempersulitkannya jika apa yang dilakukan kerajaan adalah pro-rakyat. Anwar berkata, antara lain yang dibincangkan termasuklah hal ekonomi dan moratorium yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula bercakap tentang kesan parah Covid-19 di beberapa kawasan serta kaedah lama untuk menanganinya yang perlu diubah. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI