suria

Hayati erti merdeka seiring perkembangan pendidikan negara

KPT mengambil peranan utama dalam membentuk jalinan kerjasama antara universiti, industri, kerajaan dan masyarakat.

INILAH detik bermakna pada setiap tahun di mana kita merenung definisi hari istimewa dan penuh bermakna ini kepada seluruh rakyat Malaysia.

Jika ditelusuri dari sudut sejarahnya, istilah 'merdeka' berasal daripada perkataan Sanskrit 'maharddhika' yang bermaksud kaya, makmur dan berkuasa. Setiap tahun, banyak temu bual yang dijalankan untuk melihat pemahaman rakyat Malaysia mengenai makna merdeka.

Secara umumnya, definisi merdeka pada kebanyakan orang dapat diringkaskan sebagai 'kebebasan melalui cinta dan penyatuan bangsa kita'.

Kekuatan bangsa terletak pada kepelbagaiannya. Demi kejayaan negara, kita mesti bekerjasama tanpa mengira batas sempadan etnik dan agama. Ini adalah antara perkara yang diajar ketika di sekolah. Tetapi bagaimana pula pelajaran ini diterjemahkan di peringkat institusi pendidikan tinggi?

Tanggungjawab Sivik

Umum mengetahui bahawa pendidikan di peringkat institusi pengajian tinggi bertujuan untuk melahirkan siswazah yang berkebolehan dan berdaya saing bagi memasuki pasaran pekerjaan yang kompetitif. Bagaimanapun, perkara yang tidak kurang pentingnya adalah persediaan pelajar untuk memainkan peranan sebagai warganegara yang baik dalam masyarakat.

Tanggungjawab sivik adalah nilai sosial yang sangat penting dalam membentuk sebuah negara demokratik dan masyarakat yang pelbagai. Setiap graduan harus bersikap cakna dan bertanggungjawab terhadap komuniti di tempat tinggal masing-masing.

Tanggungjawab sivik dibentuk melalui pelbagai penglibatan dan penyertaan pelajar dalam isu sosial. Penyelidik di Malaysia mendapati aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan pelbagai latar belakang kumpulan memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan sikap serta tanggungjawab sivik dalam kalangan pelajar.

Menyedari kepentingan nilai ini untuk masa depan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil peranan utama dalam membentuk jalinan kerjasama antara universiti, industri, kerajaan dan masyarakat.

Lebih dikenali sebagai Quadruple Helix, konsep ini memastikan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta perkhidmatan komuniti saling terjalin antara satu sama lain untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

student  3

Universiti mewujudkan peluang untuk pertukaran pengetahuan dan budaya dalam kalangan pelajar dan juga untuk meraikan perbezaannya.Foto: The Star

Kesimpulannya, ia mampu melahirkan siswazah yang sedia berbakti, mencurah tenaga dan menjadi anggota masyarakat yang berkualiti.

Sudah ada bukti pelaksanaan konsep ini membuahkan hasil. Contoh utama adalah usaha yang digerakkan oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK). Mesyuarat MPPK adalah platform untuk pemimpin dalam kalangan pelajar mengemukakan idea untuk menyumbang ke arah agenda pembangunan negara.

Ini membolehkan penglibatan pelajar secara langsung dalam fungsi perundangan negara kita sambil menghubungkan mereka dengan pemimpin pelajar dari universiti lain dan juga pemimpin negara.

Antara usaha yang telah dilaksanakan MPPK termasuklah; peningkatan kualiti akses internet untuk memudahkan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran atas talian yang berkesan; serta program rumah sewa untuk pelajar.

Kejayaan ini menunjukkan apabila pelajar disemai dengan sifat tanggungjawab sivik, mereka dapat menjana idea dalam mendepani cabaran yang dihadapi oleh masyarakat.

Membina Bangsa

Memupuk nilai, pembentukan karakter dan kemahiran juga menjadi teras kepada patriotisme. Konsep pendidikan kewarganegaraan telah dibahaskan oleh Ernest Gellner dalam konteks nasionalisme.

Sebagai pendidik, kita perlu memastikan perlunya keseimbangan antara kaedah mendidik secara bebas dan pada masa yang sama memupuk semangat nasionalisme dalam kalangan graduan. Pada akhirnya, kita perlu membina kekuatan bangsa kita sendiri.

Pendidikan bertanggungjawab membawa reformasi sosial dalam sesebuah negara. Ia membantu sesebuah negara untuk maju secara sosial, ekonomi dan politik.

Justeru, penting untuk pendidik memahami perkara ini sebelum menyampaikan pengetahuan ini kepada pelajar. Kita ingin melihat bagaimana graduan kita berhubung dengan komuniti yang pelbagai terutama berkaitan dengan pelbagai latar belakang. Universiti seharusnya menjadi institusi demokratik di mana idea harus dikongsi secara terbuka dan dihormati.

Terkenal sebagai negara berbilang kaum, kehadiran pelajar antarabangsa juga menambahkan 'warna' kepada Malaysia yang sudah sedia 'berwarna warni'. Kita perlu menegaskan kembali peranan integrasi, rasa hormat dan toleransi antara satu sama lain.

Di sinilah universiti mewujudkan peluang untuk pertukaran pengetahuan dan budaya dalam kalangan pelajar dan juga untuk meraikan perbezaannya. Persefahaman bersama adalah penting dalam mempromosikan idea budaya keamanan yang merupakan salah satu aspek yang paling penting dalam pembangunan negara.

student 2

Aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan pelbagai latar belakang kumpulan memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan sikap serta tanggungjawab sivik dalam kalangan pelajar. Foto: TheStar

Pendidikan Inklusif

Dengan bertambahnya bilangan pelajar antarabangsa yang berminat untuk menyambung pengajian di negara ini, pendidikan tinggi di Malaysia menyediakan lebih banyak peluang belajar, memupuk budaya menghormati dan kebersamaan, bahkan membolehkan pelajar tempatan belajar meraikan perbezaan individu.

Malaysia komited dengan Agenda 2030, yang mana berdasarkan prinsip di mana setiap orang harus berkongsi kemakmuran dan mempunyai tahap kesejahteraan asas dengan terus berusaha untuk mencapai Matlamat Keempat menerusi Matlamat Pembangunan Mampan bagi memastikan kualiti yang inklusif dan kesaksamaan pendidikan serta mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk setiap individu.

Untuk mencapai objektif rancangan strategik sejajar dengan Agenda 2030, KPT terus berusaha untuk memastikan akses pendidikan berkualiti tinggi yang sama rata untuk semua pelajar termasuk Orang Asli, pelajar minoriti bahkan pelajar berkeperluan khas seperti masalah penglihatan, pendengaran, kesukaran pertuturan, kecacatan fizikal, kecacatan pelbagai, dan ketidakupayaan belajar seperti autisme, Sindrom Down, Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan disleksia.

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), sebanyak 10 peratus penduduk di negara-negara membangun terdiri daripada golongan berkeperluan khas, namun hanya satu peratus penduduk Malaysia terdiri daripada golongan berkenaan dibandingkan dengan purata 10 peratus di peringkat global.

Berdasarkan penemuan ini, jumlah pelajar dengan keperluan pendidikan khas di Malaysia telah diambil ringan oleh margin signifikan disebabkan oleh kekurangan pakar untuk penilaian dan intervensi gangguan perkembangan.

Dalam menyelesaikan masalah ini, Kementerian berupaya membentuk kerjasama yang padu dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mempercepatkan pengesanan dan diagnosis awal, serta untuk memperbaiki program inklusiviti.

Selain KKM, pihak berkepentingan lain juga memainkan peranan penting dalam pendidikan sebagai penyokong, pendokong, pemudah cara, dan rakan penyampai bagi memastikan sistem pendidikan tempatan berkembang seiring dengan negara lain untuk mengekalkan daya saing dalam ekonomi global yang semakin kompetitif.

Hanya dengan memupuk sifat inklusif dan tidak memaksa setiap individu untuk berfikir dalam ruang lingkup yang sama, kita akan dapat mengatasi sikap diskriminasi, membangunkan masyarakat yang mapan, pemimpin inklusif, dan akhirnya, masyarakat inklusif secara global.

Demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya yang kaya, makmur dan berkuasa (sebagai makna maharddhika), kita harus meraikan kepelbagaian yang ada di bumi bertuah ini. Bukankah ia makna sebenar merdeka?

- Dr Diyana Kasimon, Dr Feroz De Costa dan Profesor Madya Dr Moniza Waheed dari Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia adalah Penulis Tamu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain