suria

KBBM kembali lagi dengan tawaran harga istimewa produk tempatan! Jom ‘shopping’ sambil pulih ekonomi negara pasca Covid-19

Pengguna membuat pembelian menerusi portal dalam talian (marketplace). Foto YAP CHEE HONG/The Star

KEMPEN Beli Barangan Malaysia (KBBM) diteruskan lagi pada tahun ini dalam usaha menggalakkan pengguna membeli produk buatan Malaysia dan membantu pengusaha tempatan menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika pandemik Covid-19.

Dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), ia juga untuk mewujud dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, mutakhir ini cabaran globalisasi perniagaan dan 'country of origin effect' banyak menyumbang kepada pemilihan dan pembelian barangan import yang dianggap dapat memberikan pembelian berbaloi (value for money), sama ada dari segi harga atau prestij.

Dalam menyemai semangat patriotisme, beliau berkata, ia juga merupakan platform dalam usaha penjenamaan (branding) bagi mempertingkatkan kepercayaan pengguna (brand trust) terhadap kualiti produk tempatan.

Dalam masa sama kempen ini mempamerkan kepelbagaian barangan tempatan dan membantu memasarkan produk dan perkhidmatan, di samping memberikan dorongan kepada pengusaha lokal.

"Pelaksanaan ini selari dengan perkembangan dan keadaan semasa berikutan pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia. Kita menyaksikan urusan jual beli kini telah tertumpu ke arah pendigitalan.

"Sehubungan itu, KPDNHEP sedar bahawa ramai pengguna terkesan dengan pandemik yang berlaku di mana kuasa membeli pengguna juga menurun.

"Justeru, pada tahun ini, KPDNHEP menyasarkan supaya manfaat KBBM dinikmati secara terus oleh pengguna melalui penawaran harga istimewa bagi barangan keluaran tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pra-pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2021, yang dilakukan secara maya, Khamis.

Hasnol Zam Zam Ahmad 2

Hasnol Zam Zam menyampaikan ucapan pada majlis pra-pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2021, yang dilakukan secara maya.

Hasnol Zam Zam berkata, KBBM juga menjadi serampang dua mata dalam membantu meningkatkan jualan produk pengusaha tempatan sekali gus mengukuhkan ekonomi negara.

Pelaksanaan program KBBM pada 2019 mencatatkan peningkatan nilai jualan sebanyak RM2.87 bilion melibatkan 279,000 unit simpanan stok (SKU) bagi sektor peruncitan dan RM6.84 juta nilai jualan diperoleh melalui portal dalam talian (marketplace).

Menurutnya, pelaksanaan KBBM pada 2020 menyaksikan peningkatan sebanyak RM3.3 bilion dengan lebih 326,000 SKU.

"Portal dalam talian (marketplace) mencatatkan peningkatan yang amat besar pada 2020 berbanding 2019 dengan nilai jualan lebih RM145 juta.

"Peningkatan yang ketara ini disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana menyaksikan ramai rakyat Malaysia berbelanja secara dalam talian," katanya.

barangan buatan malaysia - faihan ghani

Barangan tempatan yang dijual menjadi pilihan pengguna. foto FAIHAN GHANI/The Star

Dalam pada itu, Hasnol Zam Zam berkata, KPDNHEP amat menghargai dan berterima kasih kepada semua frontliners kesihatan atas pengorbanan dan sumbangan mereka supaya rakyat Malaysia dapat hidup dengan selamat.

Menurutnya, kini tiba masanya usaha tersebut disambut oleh barisan hadapan sektor ekonomi untuk bersama-sama menyumbang kepada pelan pemulihan ekonomi negara.

"Saya yakin barisan hadapan ekonomi seperti pengeluar, pengedar, penyedia perkhidmatan dan peruncitan akan dapat bersama-sama kerajaan untuk memastikan usaha kita ini berjaya.

"Saya ingin menyarankan kepada anda semua 'Jom Sokong dan Beli' Barangan Malaysia kerana setiap perbelanjaan kita kelak akan dapat membantu memastikan ekonomi negara kita kekal berdaya saing.

"Semoga kempen seperti ini menjadi satu wadah kepada usaha bersama antara kerajaan, industri dan juga rakyat dalam memastikan kejayaan kita memulihkan ekonomi negara pasca Covid-19," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain