IMAM Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim tampil memohon maaf secara terbuka berhubung isu layanan dua darjat bagi solat Jumaat yang tular baru-baru ini. Beliau berjanji akan membaiki keadaan terutama berkaitan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Putra menerusi rakaman yang disiarkan di laman Facebook Masjid Putra pada malam Selasa. "Dengan rendah hati, saya ingin memohon maaf atas segala keterlanjuran tersebut," katanya. Sehubungan itu, dia turut mengajak orang ramai khasnya jemaah untuk meneruskan aktiviti mengimarahkan Masjid Putra sama ada solat Jumaat atau solat fardu dan program yang akan dianjurkan kelak. Ikmal dikecam warga maya selepas memberi penjelasan berhubung VIP yang lewat tiba dibenarkan memasuki masjid untuk menunaikan solat Jumaat berbanding jemaah yang telah tiba awal tetapi tidak dibenarkan masuk. Dalam penjelasannya sebelum ini, beliau tidak meredai tindakan individu yang membuat rakaman video dan menularkannya di laman sosial serta meminta pihak terbabit bertemu dengannya untuk memohon maaf selain berdoa agar diberi hidayah.-SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI