LAGU 'SIFAR' terbitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meraih kejuaraan di International Media Festival for Prevention (IMFP) di Toronto, Kanada, pada Rabu malam. Lagu yang dihasilkan dengan kerjasama komposer muda, Asfan Shah, Lady D dan Tripdisk serta rapper Kmy Kmo itu dinobatkan sebagai juara dalam kategori 'Music is Key' dalam festival media tersebut. Menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, kemenangan itu bukan sahaja bermakna untuk pihaknya serta artis terlibat, malah dianggap sebagai satu hadiah untuk rakyat Malaysia. "Kemenangan ini adalah suatu hadiah bukan hanya kepada Perkeso atau artis-artis yang terlibat di dalam penerbitan lagu ini, malah kepada semua rakyat Malaysia yang baru sahaja meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-64 dan Hari Malaysia, minggu lepas. "Ini juga adalah satu pengiktirafan kepada keras Perkeso melalui pelbagai cara selama ini untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran rakyat Malaysia terhadap pentingnya jaringan keselamatan sosial untuk melindungi mereka dan keluarga tersayang," ujarnya. Tambah beliau lagi, pihaknya kini sedang giat menyusun strategi dan pendekatan yang lebih pelbagai, kreatif dan menyeluruh bagi menguar-uarkan mesej mengenai kepentingan mencarum dengan Perkeso. Untuk rekod, lagu SIFAR dilancarkan sejak November 2019 dan sudah meraih lebih 700,000 tontonan di YouTube. Bergenre moden kontemporari, SIFAR turut dijadikan runut bunyi (OST) bagi filem Warkah terbitan Perkeso pada 2019. Lagu ini mengangkat mesej positif iaitu meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan perlindungan keselamatan sosial, di samping menyuntik elemen nasihat untuk mencegah kemalangan dalam kalangan generasi muda. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI