suria

Tidak dapat dihubungi sejak Sabtu, pembantu Zolkples Embong minta bantuan polis

Mayat Zolkples, 62 ditemui di ruang tamu sebaik sahaja anggota polis memecah masuk rumahnya.

POLIS tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes kematian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ini berdasarkan siasatan yang dijalankan di rumah serta pada mayat yang ditemui.

"Tidak ada tanda-tanda pecah masuk atau pergelutan. Dia belum berkahwin dan tinggal sendirian," katanya ketika dihubungi wartawan The Star pada Ahad (3 Okt).

ARTIKEL BERKAITAN: Zolkples Embong meninggal dunia

Mohamad Farouk berkata, mayat Zolkples, 62 ditemui di ruang tamu sebaik sahaja anggota polis memecah masuk rumahnya.

Katanya lagi, pembantu peribadi Zolkples terdahulu telah menghubungi talian kecemasan MERS 999 sekitar jam 8.30 pagi dan menyatakan bahawa majikannya tidak dapat dihubungi sejak Sabtu (2 Okt).

"Menurut saudara, Zolkples telah menjalani pembedahan jantung sekitar 10 tahun lepas. Ujian calit Covid-19 terakhirnya adalah pada hari Jumaat (1 Okt) dan dia dilaporkan negatif," kata Mohamad Farouk.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Sri Petaling untuk disembahayangkan sebelum dikebumikan di Kampung Sura di Dungun, Terengganu, kata Mohamad Farouk.

"Kami mengklasifikasikan kes itu sebagai Mati Mengejut (SDR)," katanya.

MSN terdahulu mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan mengenai kematian Zolkples yang ditemui mati di kediamannya di Pandan Indah.

Ia menambah bahawa pada masa itu penyebab kematiannya masih belum diketahui.

Selain menerajui MSN, Zolkples juga pernah bertugas sebagai setiausaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari tahun 2000-2002 dan ketua pegawai eksekutif jawatankuasa penganjur Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (Masoc).

Dia pernah bekerja di bawah beberapa Menteri Sukan dan mempunyai minat yang mendalam terhadap pembangunan sukan.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pemergian Zolkples dirasai semua pencinta sukan.

"Kami terkejut dan sedih. Saya menganggapnya sebagai mentor, saudara dan rakan. Dia telah banyak memberi sumbangan dalam arena sukan Malaysia," kata Shapawi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Zolkples, MSN, meninggal, sakit jantung

Artikel Lain