DHL Express Malaysia akan menjadi syarikat logistik pertama di negara ini yang menggunakan kenderaan elektrik hasil kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050. Dalam tempoh kurang sembilan bulan, DHL menjangkakan akan menerima kumpulan kenderaan elektrik (EV) pertamanya iaitu tiga van penghantaran jenis Nissan e-NV200. Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata syarikat utiliti itu menyediakan infrastruktur pengecasan EV di pusat perkhidmatan DHL di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Ini di samping dua pengecas pantas langsung di dua lokasi lain di Lembah Klang sepanjang laluan penghantaran. Ini akan menjadi fasa percubaan kolaborasi. "Kami telah mengenal pasti beberapa lokasi dan salah satunya adalah berhampiran dengan pencawang kami di Dayabumi. "Kami akan memasang pengecas pantas 60kW. Untuk setiap minit pengecasan, ia akan membolehkan kenderaan bergerak sejauh 6km," kata Megat Jalaluddin dalam satu taklimat media secara maya. Datuk Ir Megat Jalaluddin. Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, kenderaan elektrik yang akan diterima pada separuh pertama 2022 dapat menempuh jarak sekitar 200km selepas pengecasan berterusan selama tujuh jam. "Apabila van kami diletakkan semalaman di pusat servis di Chan Sow Lin, tujuh jam adalah lebih mencukupi untuk kami mengecas kenderaan. "Selain itu, hasil tinjauan kami tentang penghantaran di bandar menunjukkan jarak pergerakan purata harian van kami adalah sejauh 180km," kata Neo. Memandangkan sasarannya untuk menggantikan 60 peratus daripada keseluruhan kenderaan penghantaran kepada EV menjelang 2030, DHL mensasarkan untuk memiliki 200 EV di Malaysia, justeru kolaborasi dengan TNB menjadi satu perkara yang sangat penting. "Kami bertanggungjawab ke atas dunia yang kita diami ini. Di DHL, kami boleh menyumbang kepada usaha ini bagi memastikan penghantaran yang lebih mampan. "Penggunaan van elektrik menandakan permulaan usaha kami untuk menjadikan penghantaran dan perjalanan jarak jauh lebih mesra alam," kata Neo. Stesen pengecasan EV yang disediakan TNB kepada pelawat di salah sebuah pejabatnya di Petaling Jaya. Megat Jalaluddin berkata TNB juga mengalu-alukan pihak yang berminat untuk menggunakan kemudahan pengecasan EV yang akan dipasang di bawah kerjasama TNB-DHL. Pada 20 Jun lalu, TNB dan DHL menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka kerangka kerja bagi pembangunan rantaian bekalan yang lebih hijau. MoU ini termasuklah kerjasama dalam inisiatif pengurangan kos dan sifar karbon, merangkumi implementasi peralatan yang cekap tenaga dan membangunkan sistem pengurusan tenaga dan panel solar di atas bumbung. TNB telah mengenal pasti pengangkutan sebagai sektor utama yang dapat disumbangkan oleh syarikat utiliti ini dalam mendorong mobiliti rendah karbon di Malaysia. TNB juga ingin mengambil peranan kritikal dalam mewujudkan permintaan yang lebih tinggi untuk penggunaan EV di Malaysia. "Apabila TNB merancang untuk memasang lebih banyak stesen pengecasan EV untuk menampung peningkatan jumlah EV komersil di sepanjang laluan penghantaran untuk DHL, kami secara tidak langsung mencipta permintaan untuk EV dalam waktu terdekat. “Oleh itu, TNB terbuka untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan industri pengangkutan dan mensasarkan untuk mengembangkan model perniagaan yang saling menguntungkan bagi memasang, menyelenggara dan mengekalkan infrastruktur pengecasan EV di sepanjang laluan yang sering digunakan oleh kenderaan penghantaran."Model perniagaan ini direka bagi memperkukuhkan sokongan asas untuk meluaskan penggunaan EV di Malaysia sementara membantu mengurangkan sebarang kebimbangan bagi pemilik kenderaan individu yang ingin beralih ke EV dalam masa terdekat," katanya. Julian Neo. Megat Jalaluddin berkata, TNB juga telah bersedia mewujudkan permintaan untuk penggunaan EV di Malaysia melalui perjanjian dengan pelbagai subsektor industri. Syarikat utiliti itu juga berusaha untuk mewujudkan lebih banyak zon EV di seluruh negara. "Bersama dengan sokongan kerajaan, kita hanya menunggu masa sebelum EV menjadi kebiasaan di negara ini, yang merupakan objektif kami. "Sudah menjadi objektif perniagaan TNB untuk membantu negara ke arah kelestarian dan kita secara dasarnya berada di landasan yang baik untuk mencapai matlamat ini. "Dalam erti kata lain, kami telah bersedia menggerakkan agenda hijau Malaysia," katanya. Neo menyatakan bahawa DHL amat memberi penekanan kepada standard persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG). "Merujuk kepada alam sekitar, syarikat induk kami, Deutsche Post DHL Group, telah menetapkan sasaran untuk mengurangi tahap pelepasan dari 33 juta tan kepada 29 juta tan menjelang tahun 2030. "Ini akan terus menjadi fokus bagi DHL untuk menerapkan energi bersih terhadap semua fasiliti kenderaan, selain apa yang telah kami lakukan masa ini seperti penanaman pokok, penjimatan penggunaan kertas, digitalisasi dan kitar semula. "Dalam tempoh 12 hingga 18 bulan terakhir, kami telah mempercepat pemasangan 100 peratus lampu LED di semua fasiliti dan pemasangan solar di empat fasiliti besar," katanya. Bagi aspek sosial dan tadbir urus, Neo menekankan bahawa DHL berusaha untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan menarik, selain memastikan pematuhan tinggi amalan perniagaan di semua pasaran operasinya. "Kami akan terus memastikan setiap dimensi perniagaan kami lestari, untuk memberikan yang cemerlang kepada pelanggan kami," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI