suria

Hari Akademia hargai jasa, pengorbanan... terima kasih pensyarah!

Sambutan Hari Akademia tahun ini dianjurkan oleh KPT dengan kerjasama UTM pada 5 Oktober 2021 (10 pagi). Sambutan terdiri daripada forum Pendigitalan Pendidikan Tinggi: Hala Tuju dan Cabaran. Jom sertai hari penghormatan ini yang dapat diakses oleh semua di media sosial rasmi KPT.

SEWAKTU saya bergelar pelajar, saya menghadiri kelas di mana tenaga pengajar menghidupkan suasana pengajaran bagi subjek yang diajar – maka sejarah bukan mengenai menghafal tarikh, tetapi ia memberitahu kita mengenai warisan yang menghubungkan dengan zaman sekarang.

Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya berbesar hati bertemu dengan pensyarah pengajian tinggi yang berinspirasi setiap hari. Saya menyedari bahawa mereka bukan sekadar pensyarah. Mereka adalah golongan intelektual, penyelidik, inovator, penulis, pakar motivasi yang bersemangat dan banyak lagi.

Pensyarah dedikasi kehidupan mereka untuk membentuk generasi seterusnya – modal insan negara kita. Saya percaya mereka merupakan salah satu aset terbesar di negara ini. Menyedari sumbangan mereka dan sempena Hari Guru Sedunia yang diperkenalkan Unesco pada 1994, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengisytiharkan Hari Akademia pada 5 Oktober dan Oktober sebagai Bulan Akademia.

Pertama kali disambut pada 2019, hari istimewa ini memberi penghormatan kepada golongan pensyarah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi termasuk institut latihan dan vokasional.

Sambutan ini bertujuan untuk memberi penerangan dan menghargai peranan pensyarah. Mereka mempunyai banyak peranan dan tanggungjawab. Selain mengajar, pensyarah melakukan aktiviti penyelidikan dan inovasi, projek perundingan dan kemasyarakatan, tugas pentadbiran dan lain-lain. Mereka juga memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan isu masyarakat melalui hubungan yang dijalinkan antara kerajaan, akademia, komuniti dan industri.

Sambutan Hari Akademia tahun ini bertemakan Akademia Diperkasa, Digitalisasi Dibudaya. Tema ini dipilih berdasarkan pengurusan pandemik Covid-19 bagi sektor pendidikan tinggi, di mana akademia terpaksa beralih dari pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka kepada pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL).

Hari Akademia - KPT 2

Menyedari cabaran-cabaran yang dihadapi menerusi pelaksanaan ODL, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama-sama institusi-institusi pengajian tinggi, syarikat-syarikat telekomunikasi dan syarikat-syarikat lain telah memudahkan peralihan kepada ODL dengan melaksanakan inisiatif pakej pelan data dan peranti untuk institusi-institusi pengajian tinggi.

Atas keperluan untuk memanfaatkan teknologi digital ketika pandemik, lebih 320,000 pelan data dan kira-kira 9,000 peranti telah disalurkan kepada pelajar-pelajar dari kumpulan B40.

Bagi mengatasi masalah tersebut dengan lebih lanjut berkaitan digitalisasi pendidikan, peruntukan sebanyak RM50 juta telah diluluskan dalam Belanjawan 2021 untuk menaik taraf Malaysian Research and Education Network (MyREN). Akses internet yang lebih pantas akan memastikan kualiti pengajian tinggi yang disampaikan oleh pensyarah tidak akan terjejas.

Meskipun waktu sukar ketika ini, ramai pensyarah berjaya memainkan peranan mereka sebagai penyelidik. Tahun ini, seramai 19 penyelidik Malaysia diiktiraf menerusi anugerah Highly Cited Researchers 2019 dan 2020 oleh Clarivate – peneraju global dalam penyaluran maklumat serta pandangan yang dipercayai untuk mempercepatkan langkah inovasi.

Penyelidik-penyelidik ini telah menerbitkan pelbagai kertas penyelidikan dalam jurnal teratas yang dipetik oleh sarjana lain. Jurnal penyelidikan yang menjadi tumpuan itu menduduki di peringkat satu peratus teratas dalam Web of Science (WoS) mengikut bidang masing-masing.

Penerima anugerah terdiri daripada enam penyelidik dari Universiti Malaya, masing-masing tiga dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia, masing-masing dua dari Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Sunway, dan masing-masing satu dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Monash dan Universiti Xiamen Malaysia.

Hari Akademia - KPT 3 b

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ramai pensyarah telah membanggakan Malaysia di pentas antarabangsa. Institusi pengajian tinggi tempatan merupakan pemenang dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN) 2021, Anugerah Universal Perficio dan Persidangan di India (UPACRI) 2021, dan banyak lagi.

Selain pencapaian yang dapat diukur, pensyarah juga membawa nilai yang tidak terhingga kepada negara. Mereka mengadakan perbincangan mengenai isu-isu seperti prinsip moral, tingkah laku kesopanan dan tanggungjawab sivik – di mana semuanya penting untuk pembangunan masyarakat yang hebat.

Pensyarah pengajian tinggi adalah profesional yang berkhidmat di institusi pengajian tinggi kerana itu yang mereka mahukan. Pensyarah amat menyukai subjek yang menjadi kepakaran mereka dan bersedia untuk menghabiskan sepanjang kerjaya dengan membakar semangat mereka dengan pengetahuan baharu.

Bagi pihak KPT, saya ingin mengucapkan terima kasih dengan sepenuh hati kepada pensyarah pengajian tinggi di atas kesungguhan kerja dan sumbangan mereka. Saya juga ingin mengucapkan tahniah di atas semua kejayaan mereka. Semangat mereka begitu dikagumi dan tidak boleh dinafikan. Semoga dedikasi mereka terus menyemarakkan semangat dalam pembangunan negara. Selamat Hari Akademia 2021!

Datuk Seri Dr NORAINI AHMAD

Menteri Pengajian Tinggi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain