PENGELUAR tempatan merekodkan pendapatan yang besar di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia, apabila mencatatkan jualan berjumlah RM3.3 bilion pada 2020 dengan jangkaan peningkatan 2.5 peratus pada tahun ini. Prestasi kempen ini juga menjadi bukti betapa pantasnya rakyat Malaysia mengadaptasi pembelian secara dalam talian. ARTIKEL BERKAITAN: #Kitajagakita... Sokong peniaga tempatan, jom serbu Langkawi beli barang buatan Malaysia! "Kami memperoleh hasil jualan RM2.87 bilion pada 2019 dengan portal pemasaran dalam talian menyumbang RM6.84 juta, dan RM3.3 bilion pada tahun lepas dengan perniagaan portal dalam talian meningkat kepada RM145 juta," kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid. Prestasi tersebut tetap dicapai walaupun ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, tambahnya. "Walaupun berbaki kurang dua bulan lagi bagi tahun ini, sudah tiba masanya untuk melancarkan sekali lagi kempen ini sekarang dan kami yakin ia akan menerima sambutan baik daripada peniaga dan pengusaha syarikat. "Kami optimis dengan prestasi kukuh tahun ini, dengan peruntukan RM20 juta dalam Bajet 2022 untuk melonjakkan industri dan meningkatkan persaingan dalam sektor perdagangan dalam negeri," kata Rosol yang mewakili Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia di Dataran Cenang, Langkawi pada Sabtu. Rosol (tengah) dan (dari kiri) Exco Kedah, Romani Wan Salim; Speaker Dun Kedah, Juhari Bulat; Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Domestik) Datuk Roziah Abudin sewaktu pelancaran Beli Malaysia kempen di Langkawi pada 13 November. Rosol berkata dengan perkongsian strategik antara kementerian dan rakan sokongan dalam menjayakan kempen ini, terbukti kerjasama antara dua pihak ini menjadi pemangkin untuk memulihkan ekonomi negara. "Perkongsian ini penting untuk memulihkan dan meningkatkan sektor perdagangan runcit untuk mencatat pertumbuhan yang ketara tahun ini. "Logo Kempen Beli Barangan Malaysia sepatutnya menjadi tanda prestij yang boleh dimanfaatkan oleh peniaga untuk penjenamaan mereka dan meningkatkan kepercayaan jenama mereka untuk produk keluaran tempatan. "Kempen ini telah mendapat tempat dengan lebih ramai rakan kongsi strategik menyertainya seperti Aeon Big, Aeon Co, Giant, Mydin, 99 Supermart, The Store, Hero Supermarket, KK Supermart, EcoShop dan pasaran dalam talian seperti Shopee, Lazada dan PgMall," tambah Rosol. Beliau berkata karnival yang berlangsung dari 11 hingga 14 November itu disertai 20 usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempamerkan pelbagai produk di gerai mereka khususnya dari Kedah. "Kempen ini bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah dimulakan sejak tahun 1984 dan telah menjadi 'trademark' kementerian ini. "Kami memahami kesan pandemik terhadap kehidupan pengguna. Justeru, di bawah kempen tahun ini, produk tempatan ditawarkan kepada pelanggan pada harga yang sangat menarik. "Kehadiran pemain industri, usahawan, pengeluar tempatan dan media dengan agensi kerajaan telah mewujudkan sinergi dan kerjasama yang erat yang mencerminkan konsep Keluarga Malaysia dalam penghasilan produk tempatan," tambah Rosol lagi. Secara takrifannya, produk Malaysia adalah barangan yang dikeluarkan dalam negara dan mengandungi sekurang-kurangnya 51 peratus material tempatan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI