suria

Keberkesanan paling cepat menurun, penerima vaksin Sinovac diberi dos penggalak lebih awal

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. Foto: BERNAMA.

MEREKA yang menerima vaksin Covid-19 Sinovac CoronoVac akan mendapat suntikan penggalak terlebih dahulu kerana keberkesanannya paling cepat berkurang berbanding vaksin yang lain.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, keberkesanan vaksin mula berkurangan selepas beberapa bulan, namun vaksin Sinovac paling cepat kehilangan potensinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan ‘walk-in’ dos penggalak diumum petang ini

Dengan jumlah kes Covid-19 dalam kalangan penerima vaksin meningkat, beliau menyeru orang ramai untuk mendapatkan suntikan penggalak mereka.

Khairy pada Sabtu turut berkongsi graf yang menunjukkan data kemasukan kes Covid-19 di Hospital Sungai Buloh dan mendedahkan kebanyakan pesakit Kategori 4 dan 5 adalah penerima Sinovac.

"Walaupun Sinovac berkesan, terdapat bukti keberkesanannya berkurangan lebih awal. Itulah sebabnya kami mahu anda mengambil apa sahaja penggalak yang ditawarkan," kata Khairy.

Tambah beliau, tempoh penurunan keberkesanan yang lebih cepat adalah sebab mengapa jarak masa untuk suntikan penggalak Sinovac adalah tiga bulan, berbanding enam bulan untuk vaksin Pfizer dan AstraZeneca.

Minggu epidemiologi terakhir (minggu epid 45) menyaksikan 165 penerima Sinovac dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sebagai pesakit Kategori empat dan lima.

Sebagai perbandingan, 24 adalah penerima Pfizer manakala tujuh adalah AstraZeneca.

Negara ini mula memberikan suntikan penggalak pada bulan Oktober, dengan keutamaan diberikan kepada warga emas, pesakit imunokompromi serta barisan hadapan kesihatan dan keselamatan.

Sehingga kini, lebih daripada sejuta suntikan penggalak telah diberikan di seluruh negara. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain