RAKAMAN seorang pemuda dengan masalah mental dicekik sehingga meninggal dunia oleh tiga lelaki lain dipercayai kerana mencuri pembesar suara, tular di media sosial. Insiden pergaduhan tersebut dipercayai dirakam di hadapan warung pasar pagi di Flat Ashby Road, Ipoh di Perak. Pengguna Twitter, Zack_rockstar yang menularkan klip rakaman tersebut berkata orang ramai hanya merakam dan melihat insiden pergaduhan tersebut tanpa berbuat apa-apa. “Beliau mati dicekik kerana disyaki mencuri pembesar suara portable yang tidak seberapa harganya. Kematiannya disaksikan oleh orang ramai, tidak kurang yang merakam video sepanjang kejadian sehingga malaikat maut mencabut nyawanya,” tulisnya di laman Twitter. Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergelutan bersama suspek yang juga membabitkan dua beranak. Harian Metro melaporkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ekoran suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang mengalami masalah mental, yang dikatakan mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka. Tambahnya, ekoran kejadian itu, ketiga-tiga suspek berusia 60, 43 dan 34 tahun ditangkap bagi membantu siasatan. Rata-rata pengguna Twitter menzahirkan rasa marah melihat bagaimana mangsa diperlakukan. "Buat malu orang Melayu Islam je, setakat portables speaker tu berapalah sangat harganya nak dibandingkan dengan nyawa orang. "Bila otak tu dah penuh dengan taik, tak boleh nak fikir before nak buat something," tulis seorang lagi pengguna Twitter @ughluqman.Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI