suria

Sanggup tinggalkan kerjaya geosaintis demi bisnes gim, lelaki ini akui terjejas teruk akibat pandemik... Kini harapkan Bajet 2022 beri sinar baharu

Meninggalkan kerjaya sebagai geosaintis (gambar kecil), Mohd Azlan kini pengusaha gim.

SIAPA sangka Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lalu turut menjadi perhatian seorang kaki gim?

Mohd Azlan Mohd Supian sebelum ini berpandangan bahawa industri sukan seakan dipinggirkan, namun kali ini mahu mengetahui sama ada kandungan ucapan Tengku Zafrul bakal memberi sinar baharu buat dirinya yang kini bergiat aktif dalam bidang kecergasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Bajet 2022: Bantuan khas RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam

Sebagai pengusaha gim, Mohd Azlan, 37, pastinya menjadi antara ribuan usahawan yang mengharapkan bantuan menerusi Bajet 2022 selepas bisnes masing-masing terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Sebelum ini tidak banyak tumpuan diberikan kepada industri sukan, tapi saya benar-benar mahu sesuatu yang dapat mengembalikan bisnes supaya kompetitif seperti dulu," katanya yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia (PPGM).

mof - bajet 2022 - m40 11

Mohd Azlan (kiri) sebelum ini giat bersenam bersama rakan-rakan di gim.

Selepas tamat pengajian selama empat tahun di Universiti Curtin, Australia pada 2006, Mohd Azlan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Geologi Gunaan, menyedari tidak ramai pelajar Malaysia mengambil berat tentang senaman berbanding belia di negara kanggaru itu.

Demi cintanya kepada dunia kecergasan, beliau sanggup melupakan kerjayanya sebagai geosaintis di sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka.

"Gaya hidup orang di Australia semuanya suka bersenam, termasuk pelajar-pelajar di universiti pun sibuk bersenam. Saya pun mula berminat masuk gim dan bersenam.

"Dua tahun bekerja, minat saya dalam kecergasan semakin kuat dan merasakan Malaysia memerlukan budaya sukan," katanya yang menceburkan diri dalam bisnes gim dari 2008, sebelum mengusahakan sendiri sebuah gim di Danau Kota di Setapak, Kuala Lumpur sejak 2017.

mof - bajet 2022 - m40 9

Pengunjung gim melakukan senaman.

Menurut anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini, pandemik memberi impak besar buat dirinya apabila gim terpaksa ditutup beberapa kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu.

Ini kerana kata Mohd Azlan, gim miliknya berkonsep mewah yang dilengkapi peralatan senaman berjenama dan berkualiti serta kafe untuk kemudahan pelanggan.

"Banyak peralatan senaman terpaksa dijual, semuanya lebih 30 peratus. Bila gim dibenarkan beroperasi semula pada Jun tahun sama, pelanggan bising sebab banyak peralatan tak ada.

"Tapi kalau tak jual, macam mana bisnes nak bertahan? Dalam tempoh 20 bulan sejak PKP 1.0 sehingga 3.0, gim beberapa kali ditutup dan sejumlah pekerja terpaksa diberhentikan.

"Bisnes gim saya mengalami kerugian kira-kira RM150,000. Sebanyak RM120,000 daripada jumlah itu adalah bayaran sewa," katanya sambil menambah 40 peratus pelanggannya mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak keahlian sejak PKP 3.0, Jun lalu.

Tengku Zafrul delivering the Budget 2022 speech in Parliament on Friday (Oct 29). - Bernama

Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober lalu.

Anak ketiga daripada empat beradik itu juga terpaksa menjual keretanya dan keluar dari rumah sewa di Gombak, Selangor, dengan menjadikan pusat kecergasan yang terletak di deretan kedai tiga tingkat di Danau Kota itu sebagai 'rumah baharu' untuk berteduh.

Mohd Azlan menyedari Bajet 2022 menyediakan sokongan perniagaan bernilai RM40 bilion menerusi Program SemarakNiaga untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan perniagaan mereka.

Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' dan bersandarkan kepada tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, membabitkan pertuntukan sebanyak RM332.1 bilion.

mof - bajet 2022 - m40 4

Info grafik ringkas mengenai manfaat kepada M40 dalam Bajet 2022.

Antaranya adalah bantuan pembiayaan mikro kredit berjumlah RM1.8 bilion yang disediakan melalui pelbagai agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun), Agrobank, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Selain skim kredit mikro, terdapat inisiatif lain iaitu pembiayaan perniagaan dan pembiayaan alternatif serta dana Bank Negara untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Usahawan turut menerima inisiatif jaminan pembiayaan perniagaan dan kemudahan menjalankan perniagaan.

mof - bajet 2022 - m40 5

Sokongan perniagaan bernilai RM40 bilion menerusi Program SemarakNiaga untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Berikut adalah penambahbaikan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan:

1. Meningkatkan had jaminan pembiayaan perniagaan sehingga RM10 bilion sebagai tambahan kepada RM20 bilion yang telah diumumkan di bawah pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

2. Menjamin kemudahan pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula sehingga 80 peratus untuk tempoh 36 bulan sehingga maksimum RM20 juta, termasuk ketika tempoh pemberian 12 bulan moratorium bayaran balik.

3. Menjamin kemudahan pembiayaan baharu sehingga 80 peratus, termasuk ketika tempoh pemberian 12 bulan moratorium bayaran balik.

4. Jaminan RM2 bilion daripada tambahan RM10 bilion had baharu dikhususkan kepada peminjam Bumiputera.

mof - bajet 2022 - m40 13

Manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi Bajet 2022.

Kemudahan menjalankan perniagaan:

1. Lanjutan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian sehingga RM300,000 bagi menyokong pematuhan SOP seperti menambahbaik pengudaraan.

2. Potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja.

3. Penguatkuasaan pematuhan SOP Covid-19 melalui Kementerian Dalam Negeri, dan juga pematuhan Akta 446 melalui Kementerian Sumber Manusia.

4. Menambah peluang penyertaan dalam perolehan Kerajaan, syarat keperluan pendaftaran akan dipermudahkan.

5. Mewujudkan Business Travellers Centre kedua di Johor.

6. Layanan cukai yang terdiri daripada penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan, kebenaran pindaan anggaran cukai, potongan cukai khas atas pengurangan sewa, kerugian terkumpul dibawa ke hadapan.

mof - bajet 2022 - m40 8

Mohd Azlan menambah baik peralatan senaman untuk kemudahan di gim.

Bangkit semula daripada kejatuhan akibat pandemik, Mohd Azlan mengambil inisiatif dengan menambah baik kemudahan di gim miliknya.

Katanya, usaha melengkapkan semula peralatan dan kelengkapan senaman secara tidak langsung akan membantu menaikkan jualan dan jumlah keahlian.

"Saya ubati 'luka' dengan berunding dengan beberapa kenalan untuk membeli kelengkapan dengan bayaran secara ansuran," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azlan turut mengubah hala tujunya daripada menyediakan kemudahan kecergasan berkonsep mewah, kepada mampu milik.

mof - bajet 2022 - m40 7

Mohd Azlan mahu bisnes gim yang diusahakannya berdaya saing.

"Jika sebelum pandemik, kemudahan adalah eksklusif dengan hanya keahlian secara bulanan dan kontrak, namun kini pendekatan lebih fleksibel dengan turut membuka kepada pelanggan secara 'walk-in'.

"Dulu ada kafe, ahli boleh santai minum dan makan, tapi kini saya pastikan ia 'harga rakyat'. Pada masa sama, saya menjual produk untuk komuniti gim.

"Saya jual pakaian untuk bersenam, suplemen seperti protein serta bekalan ayam beku untuk keperluan diet mereka. Ibaratnya seperti pusat sehenti atau 'one stop centre' untuk mereka yang mahu kekal aktif dan menjalani gaya hidup sihat," katanya.

Optimis bisnes kembali pulih dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang, Mohd Azlan berharap bantuan dan sokongan kerajaan dapat membantu pengusaha sepertinya untuk kekal berdaya saing terutama dalam mendepani kecemasan dan keadaan yang tidak menentu.

"Saya berharap kerajaan mempunyai pakej yang baik dan bantuan khusus tanpa syarat ketat. Ramai yang tenat akibat PKP, maka masing-masing kena tampal luka dulu baru fikir untuk sembuh," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain