suria

287 kes seks luar tabii direkodkan di antara 2019 hingga November 2021

287 kes seks luar tabii direkodkan di antara 2019 hingga November 2021

TERDAPAT 287 kes seks luar tabii di antara 2019 dan November tahun ini, kata Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga itu berkata berdasarkan statistik rasmi, kejadian tertinggi berlaku di Selangor dengan 94 kes, diikuti Kuala Lumpur (39), Johor (37), Sabah (18) dan Sarawak (17).

“Berdasarkan perangkaan polis, terdapat 287 kes membabitkan jenayah seks luar tabii membabitkan golongan berumur 18 tahun antara 2019 dan November tahun ini,” kata Siti Zailah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) semasa Waktu Soalan.

Wan Hassan meminta kementerian mendedahkan statistik seks luar tabii membabitkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan belia atau remaja bawah umur.

Mengenai perkara ini, Siti Zailah berkata, terdapat 290 mangsa, di mana 208 mangsa berusia bawah 16 tahun, manakala 82 mangsa berusia antara 16 tahun hingga 18 tahun.

“Bagi pecahan berdasarkan jantina, 114 daripadanya adalah lelaki dan 176 daripadanya adalah perempuan,” tambahnya.

Beliau berkata, Kementerian sentiasa memandang serius isu-isu berkaitan seksual dalam kalangan orang ramai khususnya berkaitan kanak-kanak dan wanita.

"Kes rogol, seks bawah umur dan sumbang mahram adalah jenayah serius dan berat yang memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk mencegah isu tersebut," katanya sambil menambah bahawa Kementerian telah merangka beberapa pelan strategik jangka panjang dan jawatankuasa untuk menangani perkara tersebut. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain