suria

Dulu terbang di awan biru, kini survival di gerai tepi jalan... Bajet 2022 harapan pilot kembangkan bisnes

Berpengalaman sebagai juruterbang, Kapten Azrin kini selesa berniaga di gerai.

SEORANG kapten juruterbang merupakan antara jutaan rakyat Malaysia yang amat menantikan pembentangan Bajet 2022, pada 29 Oktober lalu.

Jika sebelum ini hanya selesa berada di kokpit mengendalikan pesawat membawa penumpang, namun lelaki ini kini meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga di gerai di tepi jalan.

Pandemik Covid-19 ternyata memberi impak yang cukup besar buat Kapten Azrin Mohamad Zawawi yang pernah diberhentikan kerja sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan.

Juruterbang berusia 45 tahun itu berkata, Mi Kari Ipoh, bihun sup, laksa utara dan rojak buah serta pelbagai jenis bubur semakin sebati dalam jiwanya sejak mengusahakan bisnes secara kecil-kecilan di sebuah gerai di USJ 11 di Subang Jaya, Selangor sejak tahun lalu.

"Bajet 2022 banyak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia seperti sokongan perniagaan untuk memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan perniagaan mereka," katanya.



Kapten Azrin (kanan) berpengalaman dalam bidang penerbangan selama 21 tahun.

Berpengalaman dalam bidang penerbangan selama 21 tahun, Kapten Azrin nekad untuk membuka sebuah gerai makanan dengan bantuan isteri, ibu mentua dan adik-beradik iparnya.

"Tugas saya membuat persiapan sajian untuk pelanggan. Saya juga akan membuat penghantaran makanan sehingga ke pintu rumah pelanggan.

"Saya tak kisah kalau orang kata saya downgrade diri sebab dulunya bawa kapal terbang dan sekarang hantar makanan. Saya tak kira status, tapi lebih kepada mod survival.

"Dalam keadaan mencabar dan tidak menentu sekarang, saya perlu cari pendapatan tambahan selain menjual makanan di gerai. Selagi ada ruang dan peluang, saya akan ambil," katanya yang berpengalaman berkhidmat dengan empat syarikat penerbangan.



Kapten Azrin membuat persiapan sajian di gerai selain membuat servis penghantaran.

Selepas lebih setahun berniaga di gerai tepi jalan, bapa kepada empat anak itu bersyukur kerana bisnes kecil-kecilannya semakin kukuh dengan prestasi jualan yang konsisten.

"Jualan mula konsisten sejak Februari lalu. Sekarang keadaan lebih mencabar sebab semua sektor kembali dibenarkan beroperasi dan semua kedai makan dah buka, makin banyak.

"Jadi, saya perlu mempergiatkan promosi menerusi media sosial, selain memperkenalkan menu baru seperti kuetiau sup, pulut mangga termasuk pulut kuning beserta rendang ayam dan daging pada Sabtu," katanya sambil menambah menyediakan khidmat penghantaran makanan adalah strategi bagi mengekalkan pelanggan sedia ada.

Bagi Kapten Azrin, pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen sebagai pemudah cara untuk mengembangkan perniagaannya.



Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober lalu.

Bajet 2022 memberi fokus kepada menyokong perniagaan dan kerajaan akan memberikan peruntukan dari segi jaminan, ekuiti dan pinjaman berjumlah RM40 bilion yang sebahagian besarnya disediakan untuk PMKS.

Bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, Bajet 2022 bersandarkan kepada tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, membabitkan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion.

Berikut adalah manfaat Bajet 2022 untuk golongan PMKS.

Inisiatif 1: Skim Kredit Mikro.

Daripada pembiayaan kredit mikro RM1.8 bilion, fasiliti utama adalah seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank.

Pembiayaan Koperasi:

Program transformasi ekonomi gerakan ekonomi (TRANSFER) (Peruntukan RM10 juta)

Program pembiayaan intervensi pemulihan ekonomi koperasi (Peruntukan RM30 juta)



Info grafik ringkas mengenai manfaat kepada PMKS dalam Bajet 2022.

Penyediaan tapak perniagaan food truck kawasan bandar (Peruntukan RM1.75 juta).

Inisiatif 2 (a): Pembiayaan Perniagaan dan Pembiayaan Alternatif.

Melibatkan agensi-agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Agrobank, Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), SME Bank dan Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF).

Inisiatif 2(b): Dana Bank Negara Malaysia untuk PKS (Berdasarkan jumlah peruntukan).

Jumlah dana tersedia pada 30 September 2021: RM11.2 bilion daripada jumlah fasiliti RM31.1 bilion.

unnamed (5)

Sokongan perniagaan bernilai RM40 bilion menerusi Program SemarakNiaga untuk PMKS.

Inisiatif 3: Jaminan Pembiayaan Perniagaan.

• Penambahbaikan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan.

Meningkatkan had jaminan pembiayaan perniagaan sehingga RM10 bilion sebagai tambahan kepada RM20 bilion yang telah diumumkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Menjamin kemudahan pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula sehingga 80 peratus untuk tempoh 36 bulan sehingga maksimum RM20 juta termasuk ketika tempoh pemberian 12 bulan moratorium bayaran balik.

Menjamin kemudahan pembiayaan baharu sehingga 80 peratus termasuk ketika tempoh pemberian 12 bulan moratorium bayaran balik.

• Jaminan RM2 bilion daripada tambahan RM10 bilion had baharu dikhususkan kepada peminjam Bumiputera.



Manfaat dan bantuan kepada PMKS menerusi Bajet 2022.

Inisiatif 4: Kemudahan Menjalankan Perniagaan.

• Lanjutan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian sehingga RM300,000 bagi menyokong pematuhan SOP seperti menambahbaik pengudaraan.

• Potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja.

• Penguatkuasaan pematuhan SOP Covid-19 melalui Kementerian Dalam Negeri dan juga pematuhan Akta 446 melalui Kementerian Sumber Manusia.

• Menambah peluang penyertaan dalam perolehan kerajaan, syarat keperluan pendaftaran akan dipermudahkan.

• Mewujudkan Business Travellers Centre kedua di Johor (Peruntukan RM10 juta)

• Layanan cukai:

Penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan.

Kebenaran pindaan anggaran cukai.

Potongan cukai khas atas pengurangan sewa.

Kerugian terkumpul dibawa ke hadapan.



Pasangan suami isteri mengusahakan gerai makan sejak setahun lalu.

Walaupun sudah biasa berhujan dan berpanas mengusahakan gerai, Kapten Azrin bersyukur apabila diserap semula untuk berkhidmat sebagai juruterbang, sejak akhir tahun lalu.

"Industri penerbangan baru kembali aktif, maka tidak banyak penerbangan yang saya kendalikan, dengan purata lima penerbangan sebulan berbanding 20 penerbangan sebulan sebelum pandemik.

"Gaji saya juga menyaksikan potongan sebanyak 80 peratus. Tapi kenapa saya masih nak jadi juruterbang? Sebab profesion 'terbang' ini sudah menjadi jiwa saya," katanya.



Kapten Azrin (kiri) dan isteri mahu mengembangkan bisnes makanan.

Justeru, dia melihat perusahaan makanan banyak membantu meneruskan kelangsungan hidup sekeluarga ketika pandemik, malah berhasrat untuk mengembangkan perniagaan.

"Alhamdulillah, bisnes konsisten dan merancang untuk mengembangkannya dengan konsep trak makanan (food truck) di beberapa lokasi, yang turut memerlukan central kitchen bagi melaksanakannya.

"Kalau central kitchen perlu modal RM80,000, manakala trak makanan berserta peralatan dengan modal RM70,000 untuk model baru atau RM30,000 bagi second hand.

"Saya perlu dapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan termasuk dari segi latihan berkaitan persiapan dan peralatan. Dengan Bajet 2022, saya berharap peniaga kecil seperti saya diberikan perhatian sebaik-baiknya," katanya.

Artikel Lain