suria

Tragis, mayat empat mangsa dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air ditemui

Salah satu mayat yang dijumpai oleh bomba tragedi banjir lumpur di Telemong. Foto Ihsan bomba

TRAGIS, mayat empat mangsa ditemui pada Isnin, susulan kehilangan mereka selepas kenderaan dinaiki mangsa melalui jambatan Telemong, Bentong dihanyutkan arus deras sungai, Sabtu lalu.

Kesemua mayat mangsa ditemukan antara dua hingga lima kilometer dari jambatan berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat pertama merupakan seorang wanita ditemukan pada jarak satu kilometer dari jambatan berkenaan pada pukul 1.17 petang.

Menurutnya, mayat mangsa kedua yang merupakan wanita Melayu warga emas ditemukan pada pukul 1.38 petang, kira-kira 100 meter daripada lokasi mangsa pertama ditemukan.

"Mangsa ketiga yang merupakan lelaki ditemukan pada jarak 1.2 kilometer dari jambatan pada pukul 2.07 petang disusuli penemuan mayat mangsa keempat tragedi di Telemong pada jam 4.23 petang.

"Bagaimanapun, seorang lagi mangsa dilaporkan masih hilang dan kerja mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Sabtu, sebanyak lima kenderaan yang melalui Jambatan Telemong, Bentong telah dihanyutkan arus deras dipercayai kepala air.

Difahamkan, dalam kejadian itu, seramai 10 orang berjaya menyelamatkan diri manakala enam orang dihanyutkan arus deras termasuk seorang yang ditemukan lemas pada Ahad. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain