suria

Tapak lupus sampah terbakar, 10 sekolah diarah tutup sementara

Tapak pelupusan sampah Jalan Byram, Pulau Burung di Nibong Tebal terbakar pada 12 Januari lalu. Foto: Sinar Harian

SEBANYAK 10 buah sekolah yang terletak berdekatan dengan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di Nibong Tebal yang terbakar, diarahkan tutup buat sementara waktu.

Menurut Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Selatan (KPPDS), Mohamad Dziauddin Mat Saad, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Bencana Daerah pada Isnin.

Penutupan sekolah berkenaan bermula 19 Januari hingga 21 Januari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah tak boleh selamanya ditutup, tapi ibu bapa diberi pilihan - Radzi

10 sekolah berkenaan adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong; SJKT Nibong Tebal; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa; SK Keledang Jaya; SJKT Ladang Changkat; SMK Methodist, SK Methodist dan SK Nibong Tebal.

Menurut Mohamad Dziauddin, keputusan itu diambil selepas mendapati indeks udara di kawasan sekolah terbabit dalam lingkungan radius 10 kilometer (km) berada pada tahap AEGL 3 (Acute Exposure Guidelines Level) iaitu kepekatan udara yang memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.

"Pihak Pejabat Pendidikan Daerah Selatan (PPDS) akan memaklumkan selewat-lewatnya pada Sabtu ini tentang status pengoperasian sekolah semula berdasarkan keputusan dan nasihat dari Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, dalam tempoh penutupan operasi tersebut, murid-murid akan melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Pihak sekolah diminta untuk memaklumkan kepada guru-guru dan ibu bapa tentang perkara itu.

"Selain itu, pihak sekolah juga diminta supaya memaklumkannya kepada pengusaha kantin, pengusaha bas dan pihak-pihak lain yang berkaitan untuk tindakan persediaan awal.

"Pihak sekolah turut diminta menyediakan petugas pada pagi Rabu bagi menguruskan murid sekiranya mereka hadir disebabkan tidak menerima maklumat penutupan ini.

"Sepanjang tempoh itu juga, warga sekolah diminta untuk memakai pelitup muka, mengurangkan aktiviti luar dan sekiranya tidak sihat, segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan," katanya.

Pada 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung, Nibong Tebal terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Anggaran keluasan tapak pelupusan adalah 16.2 hektar namun anggaran kawasan yang terbakar berkeluasan 6.5 hektar.

Susulan itu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah tersebut akan dipindahkan sementara atas faktor keselamatan.

Tindakan itu diambil susulan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, udara di kawasan itu mengandungi gas yang boleh memberi risiko kesihatan. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain