suria

Mahkamah tolak rayuan Khairy kes saman fitnah Anwar

Khairy gagal rayu dalam kes saman fitnah Anwar.

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya mengetepikan permohonan rayuan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam saman terhadapnya oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan yang dibuat pada satu perhimpunan politik 14 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Lee Swee Seng, menetapkan bahawa tiada ralat untuk rayuan berkenaan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Bersidang bersama, Darryl Goon Siew Chye dan Ghazali Cha.

Panel kemudian menolak rayuan berkenaan dengan kos sebanyak RM50,000.

Khairy membuat rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memerintahkannya membayar RM150,000 sebagai ganti rugi kepada Anwar, berhubung saman fitnah yang dilakukan Anwar susulan kenyataan Khairy pada 2008.

Anwar memfailkan saman pada 7 Mac 2008, mendakwa Naib Ketua Pemuda Umno telah mengeluarkan kata-kata fitnah dan menyebabkan ia disiarkan di laman sesawang termasuk Malaysiakini.com dengan tajuk "Anwar and kin no threat".

Ketua PKR itu mendakwa video klip yang disiarkan di Malaysiakini.com mengandungi kenyataan fitnah yang disebut Khairy semasa dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari 2008.

Katanya, kenyataan fitnah itu membawa maksud dia terlibat dengan aktiviti yang bercanggah ajaran Islam selain tidak menunjukkan contoh baik serta tidak layak memegang sebarang jawatan politik atau lain-lain. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain