suria

Kes Covid-19 kembali meningkat, kerajaan tidak akan tutup sektor ekonomi - Azmin Ali

Azmin Ali berkata, kerajaan memberi jaminan itu selepas mengambil kira kesannya terhadap sektor ekonomi jika berbuat demikian.

PENINGKATAN kes Covid-19 di Malaysia ternyata menimbulkan kebimbangan netizen.

Pada Ahad, Malaysia merekodkan 10,089 kes baharu, berbanding 9,117 pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: PM beri jaminan tiada lagi PKP selepas ini

Dalam perkembangan semasa, kerajaan tidak akan menutup sektor ekonomi terutama melibatkan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) biarpun kes Covid-19 merekodkan kenaikan mendadak ketika ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan memberi jaminan itu selepas mengambil kira kesannya terhadap sektor ekonomi jika berbuat demikian.

Menurutnya, kesan negatif dapat dilihat dalam sektor ekonomi dan kadar pengangguran yang berlaku rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.

"Langkah ini (tidak menutup sektor ekonomi) juga selari dengan keputusan kerajaan untuk tidak lagi akan melaksanakan 'total lockdown'.

"Kerajaan umum tak akan PKP kerana kesan kepada ekonomi dan pengangguran negara pada awal 2020 meningkat kepada 5.3 peratus sehingga 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Bersama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Tangkak, Johor pada malam Ahad.

Azmin mengulas berkenaan jaminan kerajaan untuk tidak menutup lagi sektor ekonomi susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh lagi melakukan 'total lockdown' dan apa yang dilakukan ketika ini adalah berdasarkan data dan sains untuk langkah-langkah kawalan.

"Kita lebih bersasar sekiranya ada kenaikan (kes). Miti akan turut memastikan kumpulan peniaga juga tidak akan berdepan impak ekonomi sehingga memaksa beberapa sektor perniagaan terpaksa gulung tikar," katanya.

Katanya, program vaksinasi termasuk Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) yang telah menyuntik hampir dua juta pekerja sektor pembuatan, antara inisiatif yang dilakukan Miti dalam memastikan sektor ekonomi tidak lagi terjejas dengan Covid-19.

Menurutnya, golongan itu terdedah dalam risiko yang tinggi dan ketika ramai boleh bekerja dari rumah, pekerja sektor pembuatan terpaksa berada di bahagian pengeluaran di kilang untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Inisiatif itu katanya, dilakukan bagi memastikan penghasilan bekalan tidak akan terganggu khususnya untuk barangan keperluan dan perkhidmatan.

"Sebab itu kita laksanakan Pikas dan ia masih dalam pemantauan kita dengan banyak syarikat dan industri ambil langkah proaktif melindungi kesihatan pekerja mereka.

"Kita juga meminda Akta 446 untuk memastikan tempat tinggal pekerja ini kondusif, tidak seperti sebelum-sebelumnya. Ini langkah proaktif kita ambil supaya kita dapat menangani masalah Covid-19 dengan cara lebih efektif pada masa akan datang," katanya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain