suria

Lebih 2,000 restoran mamak terpaksa tutup kerana kekurangan pekerja

Lebih 2,000 restoran mamak ditutup kerana kekurangan tenaga kerja. -gambar hiasan

LEBIH 2,000 restoran mamak terpaksa ditutup kerana kekurangan tenaga kerja dalam sektor makanan dan restoran akibat pandemik Covid-19, dakwa satu persatuan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan menyifatkan kekurangan tenaga kerja sebagai isu besar yang semakin kritikal dihadapi ahlinya di seluruh negara.

"Ia memberi impak besar kepada industri perkhidmatan makanan kerana larangan kemasukan pekerja asing ke negara ini ketika pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Daripada 12,000 ahli Presma yang berdaftar, kira-kira 2,000 anggota menutup operasi mereka sejak dua tahun lalu kerana beberapa faktor, salah satunya disebabkan kekurangan tenaga kerja.

"Walaupun kini kami menawarkan peluang kepada tenaga kerja tempatan, namun tiada sambutan daripada rakyat Malaysia untuk bekerja di restoran mamak.

"Susulan isu ini, ahli persatuan kini sudah berkurangan kepada kira-kira 10,000 sahaja kerana sudah ramai yang terpaksa menutup sepenuhnya operasi restoran mereka kerana sukar mendapat pekerja," katanya dipetik sebagai berkata menerusi laporan Berita Harian.

Jawahar Ali berkata, industri restoran mamak memerlukan sekurang-kurang 30,000 lagi pekerja untuk mengisi kekosongan di seluruh negara.

"Kita menghasilkan poster khas untuk pengambilan rakyat tempatan dan dipasang di setiap restoran ahli, namun sambutan amat dingin.

"Yang datang pun hanya warga emas yang kesempitan wang atau warga asing yang lari daripada majikan di sektor lain seperti buruh ladang atau pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Kita tidak diskriminasi warga emas yang masih mampu bekerja walaupun sebenarnya kita memerlukan tenaga muda dalam perkhidmatan ini," katanya.

Dilaporkan bahawa akibat pandemik Covid-19, ramai pekerja asing pulang ke negara asal mereka sebelum PKP terkandas dan tidak dapat kembali bekerja di negara ini.

Susulan itu, pengusaha mamak terpaksa menjalankan operasi dengan jumlah pekerja yang lebih kecil. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain