SEMUA penduduk berusia 60 tahun dan ke atas dan penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022. Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media, petang Isnin. Ini bermakna, mereka yang gagal berbuat demikian akan diletakkan di bawah status individu tidak lengkap vaksinasi. "Hanya bulan Februari saja untuk kekal lengkap vaksinasi kepada semua warga emas tak kira jenis vaksin pertama dan kedua, dan semua penerima dewasa bagi Sinovac, mesti dapat dos pengalak. "Jika tidak, sijil digital akan bertukar warna kuning kepada putih. Maksudnya status vaksinasi penuh tidak lagi diberikan," katanya. Khairy berkata, status 'putih' itu akan menyebabkan sekatan perjalanan di pintu masuk tertentu. Beliau berkata, terdapat lebih kurang 32 peratus atau sejuta warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak. "Seramai 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac belum menerima dos penggalak terdedah kepada (varian) Omicron," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI