MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, akan berlaku kesan besar kepada anak-anak sekiranya mereka masih diarahkan kembali belajar dari rumah disebabkan Covid-19.Beliau berkata, Malaysia merupakan salah satu negara dengan penutupan sekolah paling lama akibat Covid-19. "Sebab kesan daripada anak-anak kita tidak dibenarkan ke sekolah adalah sangat besar, dari segi pembesaran, pembangunan sama ada intelek atau sahsiah mereka. Sangat terkesan. "Kalau sekiranya kita minta mereka balik untuk belajar di rumah, kita akan patah balik dan tiada kemajuan dari segi pendidikan untuk anak-anak kita," katanya pada sidang media, petang Isnin. Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah perlu melaksanakan kaedah pembelajaran secara hibrid berikutan peningkatan kluster pendidikan. Daripada 89 kluster baharu, 52 atau 58.4 peratus merupakan kluster pendidikan. Sehubungan itu, Khairy berkata, antara pendekatan yang dilaksanakan adalah memastikan guru-guru dan para pelajar termasuk kanak-kanak divaksinasi. Buat masa ini, katanya, penilaian risiko jangkitan Covid-19 akan dilakukan di peringkat sekolah. "Sekiranya ada keperluan, kita minta mereka yang positif (Covid-19) supaya tidak datang ke sekolah, diasingkan. "Kedua, kita minta kelas itu ditutup, bukan semua satu sekolah ditutup. Itu jalan terakhir (tutup sekolah)," katanya. Beliau bagaimanapun berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengenai tindakan lanjut sekiranya berlaku penularan jangkitan yang serius di sekolah. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI